Anda di sini

Komen dari ‘kerusi malas’ tidak papar realiti: Gramong

Advertisement

KANOWIT: Orang luar gemar memberi komen negatif terhadap negeri ini dianggap sebagai ‘arm chair commentator’ atau pengulas kerusi malas kerana golongan ini hanya berdasarkan tinjauan jauh yang tidak memapar perkara sebenar.

“Pada hakikatnya mereka tidak pernah datang ke Kanowit dan apa ditinjau dari jauh tidak sama dengan apa dilihat sendiri,” kata Pengerusi Kraftangan Sarawak, Datuk Gramong Juna pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak Peringkat Daerah Kanowit di Dewan Pejabat Daerah di sini malam kelmarin.

Beliau juga Pengerusi PBB Cawangan N.50 Machan berkata, mereka mendakwa bahawa daerah Kanowit mundur dari segi pembangunan adalah tidak benar kerana sebuah pekan seperti Kanowit tidak boleh dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau lain-lain tempat yang lebih maju. Gramong menjelaskan bahawa kesejahteraan sesebuah tempat diduduki bukan sahaja bergantung kepada pembangunan ataupun kemewahan tetapi pergaulan akrab mereka bermastautin di daerah itu sendiri.

“Hindarkan perasaan dengki dan sikap suka mempersendakan orang lain dan apa yang lebih penting adalah pergaulan rapat antara satu sama lain agar kehidupan kita aman damai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua masyarakat di Kanowit lebih lagi selepas kemenangan Barisan Nasional di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri Machan dan Ngemah.

Pada majlis sama, wakil rakyat serta DUN Machan, Allan Siden Gramong mengajak semua masyarakat setempat agar bergabung dan membuka lembaran baru dan memberi tumpuan ke arah kemajuan daerah Kanowit.

“Marilah kita meraikan perayaan Hari Gawai Dayak dengan perasaan yang penuh gembira serta memperingati adat tradisi kaum Iban sampai bila-bila,” ujarnya.

Aturcara Pra-Gawai peringkat daerah Kanowit dimulakan dengan dengan perarakan ahli-ahli Kelab Gagong Sibu Sarawak (KGS) bersama tetamu kehormat, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dari Dataran Fort Emma menuju ke Dewan Pejabat Daerah Kanowit diikuti dengan upacara Miring dan Bebiau serta simbolik perasmian KGS.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kanowit, Katis Noel Nyabong, Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Daniel Desmond Benjamin, Pengerusi KGS selaku Pengelola Pra Gawai, Jabang Juntan, Pengerusi SIDS Cawangan Kanowit, Helen Antas,  Pengerusi SDNU Cawangan Sibu Chambai Lindong.

Majlis Pra-Gawai tersebut merupakan anjuran bersama SIDS Cawangan Kanowit, SDNU Cawangan Kanowit dan KGS dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu, johan pertandingan kumang Gawak Dayak Kanowit 2016 disandang oleh Michelle Thomas Magal dikuti oleh Evelyn Singgok dan Sharen Sap di tempat kedua dan ketiga masing.

Lima peserta lain turut membawa pulang hadiah wang tunai RM200 masing-masing.

Advertisement