Anda di sini

Kerjasama guru, PIBG bantu sekolah capai kecemerlangan

Advertisement

MIRI: Kejayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) sekali gus mengembalikan semula kerusi Piasau kepada Barisan Nasional (BN) terus diraikan penyokongnya di sini.

Turut meraikan kemenangan beliau pada 7 Mei lalu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin yang mengadakan satu majlis makan malam sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan tersebut.

Sebastian dalam ucapan berkata, beliau berterima kasih kepada sekolah dan PIBG yang berikhtiar mengadakan majlis tersebut selain memilih beliau sebagai wakil rakyat di Piasau.

“Kesempatan ini, saya mengingatkan guru agar terus komited dan dedikasi dalam mendidik anak kita.

“Guru merupakan tunjang utama pendidikan dan memainkan peranan cukup besar dalam pendidikan dan pencapaian anak,” katanya berucap pada majlis tersebut diadakan di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Sebastian turut mengingatkan PIBG agar terus bekerjasama dengan guru memantau perkembangan persekolahan anak tidak melepas tanggungjawab pada bahu guru.

Sebastian kemudian memotong kek sebagai simbolik kejayaan beliau dalam PRN11 dan kemudian mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk PIBG SK Senadin.

Terdahulu, pengerusi PIBG SK Senadin, Henry Jugah turut memuji guru-guru di atas semangat dedikasi mereka dalam mendidik murid-murid dari Tahun 1 hingga 6.

Katanya, guru telah berjaya melaksanakan tiga strategi iaitu perancangan, perlaksanaan dan penilaian untuk memastikan kecemerlangan sekolah.

Turut diadakan pada majlis itu ialah nyanyian ‘Guru Malaysia dan Pendidik Bumi Kenyalang’ cabutan tiket bertuah, karaoke dan hadiah misteri.

Hadir sama guru besar Wilfred Mac, John Ungat (penolong kanan I), Sana Musa (Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar) dan Masnah Sulong (penolong kanan ko-kurikulum).

Advertisement