Anda di sini

Kerajaan sentiasa mengotakan janji kepada rakyat

Advertisement

Sepanjang Jalan Landeh akan dipasang lampu, penduduk Kampung Betong tidak akan bergelap lagi

// Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Penduduk Kampung Betong di Jalan Landeh di Kota Padawan bakal diterangi dengan lampu jalan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pelaksanaan pemasangan lampu berkenaan akan dilakukan selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Menurutnya yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, buat masa ini ia masih menunggu peruntukan selain menunggu pemeriksaan daripada SESCo di kawasan terbabit.

“Kita akan menunaikan janji kita sebelum ini di Kampung Betong di Jalan Landeh. Sepanjang jalannya akan dipasang dengan lampu jalan.

“Cuma kini kita menunggu SESCo untuk datang dan peruntukan diyakini akan dapat kita berikan bagi membolehkan penduduk tidak lagi bergelap di jalan berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap sempena Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Pilihan Raya PBB bagi DUN Batu Kitang dan Batu Kawa yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Cawangan PBB Batu Kitang, Nancy Shukri di sini, malam kelmarin.

Selain lampu jalan, beberapa permohonan seperti dewan atau balai raya di Kampung Betong akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Menurutnya kerajaan BN sentiasa mengotakan janjinya kepada rakyat melalui wakil yang dipilih semasa pilihan raya dalam meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, kemenangan BN di Batu Kawa dan Batu Kitang, yang majoriti pengundi Cina, satu kemenangan kuat khasnya menerusi bantuan jentera PBB tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Kemenangan di dua kerusi berkenaan khasnya Batu Kawa, amat penting kerana yang bertanding adalah Presiden SUPP (Datuk Dr Sim Kui Hian) dan ia mencapai sasaran.

“Begitu juga di Batu Kitang, kita telah mencapai kemenangan walapun kedua-duanya pengundi majoriti Cina, yang saya percaya ia turut disumbangkan pengundi Bumiputera,” tegasnya.

Katanya, meskipun kedua-dua kerusi berkenaan adalah diperuntuk kepada SUPP, namun sebagai sebuah komponen BN, PBB turut membantu melalui jenteranya di kawasan terbabit, sebagai semangat setia kawan.

Abang Johari berkata, dua hari sebelum mengundi, antara dua kerusi yang masih lagi membimbangkan kepada BN untuk mencapai kemenangan adalah Batu Kawa dan Batu Kitang.

“Dua hari sebelum mengundi kita merasakan dapat memenangi 70 daripada 82 kerusi dan kita masih risau mengenai Batu Kawa dan Batu Kitang.

“Namun pada 7 Mei (hari mengundi) dengan kerjasama kuat anda semua, BN telah mencapai kemenangan di kerusi terbabit,” katanya sekali gus menyaksikan BN menang 72 kerusi.

Abang Johari turut percaya melalui kemenangan itu dua wakil rakyatnya Lo Khere Chiang (Batu Kitang) dan Dr Sim (Batu Kawa) akan memberi perkhidmatan adil di kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

Advertisement