Anda di sini

Cadangan tempatkan kaunselor di SCCS, bantu ibu bapa perlu sokongan emosi

Advertisement

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dicadang menempatkan kaunselor di Pusat Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) bagi membantu ibu bapa yang mungkin memerlukan sokongan emosi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata meskipun sesi kaunseling bukan kewajipan sekurang-kurangnya memberi pilihan kepada ibu bapa kanak-kanak kanser di pusat itu.

“Kita memahami ibu bapa khususnya kepada anak-anak menghidap kanser mungkin memerlukan kaunselor untuk meluahkan perasaan.

“Pada masa sama bukan sahaja sebagai sokongan emosi tetapi mungkin boleh memaklumkan kepada JKM bagi menyuarakan apa sahaja bantuan diperlukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sentuhan Kasih Petronas 2016 anjuran PETRONAS bersama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persatuan Jurugambar Media Sarawak (SPPA) di sini semalam.

Menurut Rohani, penyediaan khidmat itu hanya pilihan kepada ibu bapa kanak-kanak menghidap kanser sekiranya mereka bersedia meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan.

Katanya, ada kalangan ibu bapa mungkin lebih senang bercerita atau meluahkan perasaan kepada profesional seperti kaunselor dalam mereka menghadapi cabaran berkenaan.

“Kadangkala mereka ini bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi kewangan atau apa sahaja tetapi memerlukan sokongan emosi dan kita merasakan perlunya kaunselor ditempatkan di SCCS,” katanya sambil memberitahu ia bukan paksaan kepada ibu bapa berbuat demikian.

Sementara itu, Naib Presiden SCCS Dr Charles Leh berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan dan badan korporat yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada pusat sukarelawan itu.

“Sokongan amat penting kepada kami kerana dianggarkan 70 kes pesakit berdaftar memerlukan kos RM1.5 juta setiap tahun.

“Hospital Umum Sarawak (HUS) merupakan satu-satunya pusat rawatan yang dikunjungi dan pesakit kanser khasnya memerlukan rawatan berpanjangan dan kami menyediakan pusat ini kepada ibu bapa kanak-kanak ini,” katanya.

Pada majlis itu, Rohani mengumumkan peruntukan sejumlah RM30,000 kepada SCCS untuk menjalankan aktiviti mereka.

Hadir sama Penasihat SCCS Datin Patinggi Puan Sri Datuk Lorna Enan Muloon, Pengurus Kanan Perhubungan Media, Alicia Ahmad Zubeir dan Pengerusi KDJA, Jason Yong.

Advertisement