Anda di sini

Ubah suai meter, pemilik perniagaan diarah bayar RM346,682

Advertisement

KUCHING: Mahkamah Tinggi Miri baru-baru ini membuat keputusan yang memihak kepada Syarikat SESCo Bhd, yang juga cabang operasi dan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), dalam satu kes kecurian tenaga terhadap seorang pemilik sebuah perniagaan penyimpanan sejuk yang terletak di Pujut, Miri.

Susulan keputusan mahkamah itu, pemilik diarah membayar jumlah sebanyak RM346,682.20 bersama faedah ke atas tunggakan bil sebanyak lima peratus setiap tahun dari tarikh saman sehingga tarikh penyelesaian serta kos guaman kepada SESCo.

Dalam kes berkenaan, bukti jelas bagi pengubahsuaian meter dikesan ketika menjalankan tiga pemeriksaan tapak yang dibuat ke atas premis perniagaan selepas mengesan penyelewengan dalam bacaan meter.

Siasatan mendapati penutup meter diusik dan kesalahan itu diulangi walaupun selepas meter diganti.

Jurucakap SESCo berkata: “Sebelum penggantian meter, purata penggunaan elektrik bulanan oleh perniagaan penyimpanan sejuk ini adalah sekitar RM4,000, yang rendah dan tidak realistik bagi satu operasi perniagaan bertenaga tinggi sebesar ini yang biasanya mencatatkan purata RM34,000 sebulan.

“Pelanggan juga kerap melakukan kesalahan mengubah suai meter sejak 2010 dan diletakkan di dalam senarai kami bagi pelanggan yang dipantau dengan dekat.”

Keputusan Mahkamah Tinggi itu menandakan satu lagi mercu tanda dalam usaha SESCo untuk membendung kecurian tenaga di negeri ini.

Setakat ini usaha berterusan syarikat tenaga itu untuk membendung kecurian tenaga telah mencatatkan kejayaan signifikan dan SESCo ingin menyampaikan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama mereka dengan memberi maklumat mengenai kes-kes sedemikian.

Mereka yang ada maklumat mengenai kecurian tenaga boleh menghubungi talian khidmat kecurian tenaga SESCo di 082-443535 atau e-mel [email protected]. Semua maklumat akan dirahsiakan.

 

Advertisement