Anda di sini

Tanah aset penting, dekat di hati rakyat

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa//

 Naroden (tengah) ditemani Sajeli (enam kanan) merakamkan kenangan bersama kakitangan Jabatan Tanah dan Survei pada majlis itu.

JADI ADIWIRA: Naroden (tengah) ditemani Sajeli (enam kanan) merakamkan kenangan bersama kakitangan Jabatan Tanah dan Survei pada majlis itu.

KUCHING: Kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) diminta lebih progresif dalam melaksanakan tugas khususnya membuat pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang merupakan isu utama di bibir rakyat di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais yang memberitahu rakyat kini mahu masalah tersebut diambil tindakan positif oleh JTS.

“Tanah (NCR) adalah sesuatu aset yang amat penting dan ia amat dekat di hati rakyat. Jadi segala kemahuan rakyat harus diberi tindak balas yang cepat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam LANDAS (Land and Survey) dan Penutupan Hari Inovasi dan Integriti JTS di Hotel Imperial di sini, malam kelmarin.

Malah, Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan berkata, rakyat tidak mahu mendengar alasan yang tidak munasabah berkaitan kelewatan kerajaan mengatasi masalah tersebut.

“Rakyat kita mahu tindakan cepat daripada kita, mereka tidak mahu mendengar maklum balas negatif, kalau tidak mereka akan tidak senang tidak gembira serta marah kepada kerajaan.

“Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain, jadi kita perlu bekerja keras untuk rakyat dan baharulah mereka gembira,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu peranan JTS amat penting bagi memastikan isu tanah yang sentiasa dekat di hati rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

Tambahnya, ia juga penting bagi mencapai prestasi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat secara keseluruhannya di negeri ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Kelab LANDAS dan RM32,000 daripada Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hadir sama Pengarah JTS Sarawak Datuk Datu Sajeli Kipli dan tetamu kehormat lain.

 

Advertisement