Anda di sini

Perancangan lengkap majukan Kemena, Sebauh

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

 Dr Rundi (tiga kanan) menyampaikan geran MRP kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Desmond (dua kiri) dan Tuah (dua kanan).

GUNA SEBAIKNYA: Dr Rundi (tiga kanan) menyampaikan geran MRP kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Desmond (dua kiri) dan Tuah (dua kanan).

BINTULU: Kemudahan lengkap dirancang akan disediakan di daerah Sebauh dalam usaha merancak lagi pembangunan Kemena termasuk merubah Pekan Sebauh menjadi bandar seperti tempat lain di negeri ini.

Menteri Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, memandangkan Sebauh diiktiraf sebagai daerah penuh berada di bawah pentadbiran seorang pegawai daerah, maka perancangan perlu dibuat terus membangun daerah itu.

“Perlu diwujud sebuah hospital, balai bomba, balai polis dan lain-lain kemudahan seperti terdapat di bandar tetapi usaha untuk mewujudkan kemudahan ini bukan sekelip mata,” katanya berucap di majlis penyampaian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Wisma Residen semalam.

Justeru katanya, ‘Sebauh Vision Team’ akan ditubuhkan diketuai beliau sendiri bagi memudahkan untuk merancang bagaimana membangunkan Pekan Sebauh menjadi sebuah bandar secepat mungkin.

Katanya, pihaknya turut merancang menyediakan akses lebih mudah untuk penduduk Kampung Labang menggunakan kenderaan ke Pekan Sebauh dan seterusnya ke bandar Bintulu sekali gus memohon agar semua agensi kerajaan melihat perkara itu bagi merancakkan lagi pembangunan di Sebauh termasuk Tatau.

“Sudah tentu penyediaan kemudahan itu tidak hanya tertumpu di Sebauh tetapi meliputi seluruh kawasan di negeri ini,” tambahnya.

Mengenai kementerian yang diterajuinya katanya, ia adalah sebuah kementerian penting dan mencabar namun Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkeyakinan kepadanya untuk menangani permasalahan berkaitan bekalan elektrik untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), air dan telekomunikasi di negeri ini.

“Ia termasuk berkaitan bekalan tenaga pembangunan perindustrian dan negeri ini. Saya akan menyelesaikan isu RES tidak lancar, berkaitan dengan kemudahan air dan telekomunikasi.

“Kita perlu jelaskan kepada orang ramai keadaan tidak lancar itu dan sesuatu perlu dilakukan untuk menangani masalah berlaku dan rintihan diluah penduduk,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam hal itu ia memerlukan dana dan perancangan bukan atas faktor perniagaan tetapi berfikir luar kotak mengenai cara meningkatkan kualiti perkhidmatan terutama dalam penyediaan kemudahan perlu di luar bandar antaranya bekalan air bersih, elektrik 24 jam, penambahbaikan menara kemudahan telekomunikasi dan sebagainya.

Jelasnya, ia juga memerlukan kerjasama dan tugas-tugas tuai-tuai rumah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk lebih proaktif memaklumkan perkembangan dan permasalahan yang dihadapi penduduk kawasan mereka kepada pentadbiran pejabat daerah.

Dalam pada itu beliau berterima kasih kepada pengundi dan rakyat di negeri ini kerana memberi sokongan hebat kepada Pasukan Adenan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 lalu.

Dr Rundi juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Barisan Nasional (BN) Negeri turut menyatakan bahawa semua wakil rakyat BN perlu menghantar laporan enam bulan sekali atau dua kali setahun kepada Ketua Menteri berkenaan segala kerja-kerja dan tindakan yang telah dilakukan di kawasan masing-masing.

Terdahulu, sebanyak 35 pertubuhan, persatuan, JKKK, kelab dan organisasi di bawah kawasan N69 Kemena menerima MRP yang keseluruhannya berjumlah RM609,000 disampaikan oleh Dr Rundi semalam.

“Saya menggesa supaya penerima menggunakan peruntukan itu dengan baik dan sempurna bagi menjalankan aktiviti masing-masingnya sekali gus laporan berkenaan aktiviti mereka diserahkan kepada pegawai daerah supaya dapat diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI),” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Jenny Bangga; Pegawai Daerah Bintulu, Tuah Suni dan Pegawai Daerah Sebauh, Desmond Jerukan.

 

Advertisement