Anda di sini

Lee: Langkah KPM kaji semula undang-undang berkaitan disiplin pelajar wajar

Advertisement

SIBU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mengkaji semula undang-undang berkaitan disiplin bagi meningkatkan lagi tahap disiplin di sekolah.

Justeru Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat cadangan beberapa warga pendidik sebelum ini mahu menubuhkan jawatankuasa disiplin bagi menangani isu disiplin sekolah boleh menjurus kepada pertindihan kerja.

“Baru-baru ini saya telah terbaca satu artikel akhbar mengenai hasrat kerajaan mahu menyemak semula beberapa peraturan termasuk memberi kuasa kepada guru besar untuk menguruskan masalah disiplin serta mengenakan hukuman sebat apabila perlu.

“Saya rasa dengan langkah terbaharu KPM yang mahu mengkaji semula undang-undang yang berkaitan dengan disiplin pelajar adalah wajar.

“Namun saya tidak pasti jikalau jawatankuasa disiplin yang dibentuk di sekolah-sekolah merupakan langkah sesuai kerana skop tugas hampir sama dan boleh membawa kepada pertindihan kerja,” kata Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye kepada pemberita.

Terdahulu telah diminta untuk mengulas kenyataan laporan KPM yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.

Chong dalam kenyataannya telah memberitahu bahawa Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957, akan dikemas kini.

Ia bertujuan untuk membolehkan pihak sekolah di seluruh negara menangani isu disiplin secara seragam mulai tahun depan.

Versi terbaru peraturan tersebut meliputi isu disiplin seperti buli, ponteng sekolah, mengambil dadah dan terjebak pengaruh kumpulan militan.

Baru-baru ini BERNAMA memetik kenyataan Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan antara kalangan warga pendidik terbabit mahu jawatankuasa tatatertib yang terdiri daripada guru, ibu bapa, pihak polis dan pemimpin masyarakat ditubuhkan di sekolah bagi menangani isu disiplin di sekolah yang semakin meningkat.

Dr Mohd Ali juga dilaporkan berkata selain kaunselor dan ahli (PIBG), polis dan wakil masyarakat juga perlu menganggotai jawatankuasa disiplin sekolah kerana masalah disiplin bukan sahaja memberi kesan kepada sekolah tetapi juga terhadap orang awam.

“Tindakan KPM meneliti semula undang-undang berkaitan dengan disiplin pelajar sudah mencukupi kerana jikalau jawatankuasa disiplin turut ditubuh ia mungkin membawa kepada pertindihan kerja,” jelas beliau.

 

Advertisement