Anda di sini

Hilang telefon dan beg tangan, mekanik kecewa tahap keselamatan hospital swasta

Advertisement

KUCHING: Seorang mekanik kecewa dengan tahap keselamatan sebuah hospital swasta di pusat bandar raya ini selepas mendakwa kehilangan telefon bimbit serta wang tunai milik isterinya yang sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Mekanik berusia 31 tahun dan hanya ingin dikenali sebagai Tsai memberitahu, insiden berlaku ketika dia menemani isterinya ke tandas sekitar jam 6 pagi semalam.

Menurutnya, kira-kira 10 minit kemudian dia dan isterinya kembali ke katil dan mendapati dua telefon bimbit serta beg tangan isterinya telah hilang.

“Saya bertanya kepada pesakit lain di bilik berkenaan dan dia memberitahu ada seorang lelaki telah masuk beberapa minit selepas saya dan isteri keluar ke tandas.

“Mereka (pesakit lain) bagaimanapun beranggapan lelaki terbabit adalah saudara kami dan tidak mempedulikannya,” katanya yang turut memberitahu wajah lelaki terbabit tidak berapa jelas kerana keadaan bilik yang gelap.

Tsai yang kecewa dengan perkara tersebut segera melaporkannya kepada pihak hospital dan memohon untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Difahamkan, pemerhatian ke atas rakaman CCTV mendapati suspek adalah ‘orang luar’ dan dia dilihat masuk ke beberapa bilik rawatan untuk melakukan jenayahnya.

“Sepatutnya tahap pengawasan adalah lebih tegas, dan setiap pelawat yang datang harus diambil butir peribadi,” kata Tsai yang turut memberitahu kerugian dianggarkan mencecah RM2,500.

Advertisement