Anda di sini

Cukai taksiran antara isu harus ditekankan PBT

Advertisement
 Wong (dua kiri) menyerahkan dokumen sebagai simbolik serah tugas kepada Dr Sim sambil disaksikan yang lain.

SERAH TUGAS: Wong (dua kiri) menyerahkan dokumen sebagai simbolik serah tugas kepada Dr Sim sambil disaksikan yang lain.

KUCHING: Cukai taksiran antara isu yang harus ditekankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang mungkin memberi kesan kepada perolehan mereka selepas kadar bayarannya  dikurangkan.

Bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ia antara cabaran yang mungkin dihadapi dari segi dana atau peruntukan bagi sesetengah majlis dalam melaksanakan aktiviti mereka.

“Selepas ia dilaksanakan mungkin ada sebahagian daripada pihak majlis menerima pendapatan yang berkurangan atau impak lain memandangkan kadar cukai taksiran dikurangkan.

“Perkara seperti ini harus diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan baharu, meskipun kita percaya mungkin ada subsidi untuk perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas kepada Menteri Kerajaan Tempatan baharu Datuk Dr Sim Kui Hian di sini, semalam.

Menurut Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua,  kementerian itu mempunyai 23 PBT dengan 3,201 tenaga kerja di seluruh negeri.

Bagaimanapun katanya, cabaran yang dihadapi kementerian tidak tertakluk kepada majlis itu sendiri memandangkan banyak aspek di bawah jagaan mereka termasuk kewujudan pusat refleksologi serta pusat perjudian yang terus menjadi isu sehingga kini.

Selain itu kata Wong, antara isu yang berpanjangan sehingga kini adalah berkaitan perjudian sama ada siber dan sebagainya, yang tidak harus diletakkan atas tanggungjawab PBT sahaja.

“Daripada aspek projek pula, banyak projek telah disiapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan sedang dijalankan dibawah RMK11.

“Bagaimanapun saya berharap Dr Sim akan terus membuat susulan mengenai dua projek iaitu projek Hospital Sri Aman dan projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang masih tertangguh sehingga kini atas pelbagai alasan,” katanya.

Wong percaya perkara berkaitan dapat dilaksanakan Dr Sim memandangkan beliau datang daripada latar belakang profesion kesihatan dan berkemampuan dalam perkara itu.

Dengan itu juga diharapkan lebih ramai pakar kesihatan ditempatkan di hospital di negeri ini yang dilihat amat diperlukan di mana sehingga kini Sarawak hanya mempunyai 283 pakar sahaja.

Di samping itu, Sarawak mempunyai 1,358 pegawai perubatan, 661 doktor pelatih selain 572 ahli farmasi.

“Saya percaya Dr Sim boleh melakukan yang terbaik daripada saya dan di bawah kementerian sebanyak 23 hospital awam di seluruh negeri dengan lebih 200 klinik kesihatan yang perlu dipantau,” katanya.

Sementara itu Dr Sim dalam ucapannya berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan pembangunan di bawah kementerian itu termasuk daripada aspek kesihatan awam.

“Selain meneliti peraturan di bawah kementerian sejak tahun 1963 yang masih relevan atau tidak, kita juga menumpukan kepada meneliti langkah komprehensif dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita juga berusaha memberi kesamarataan kemudahan di setiap PBT bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih selari di semua peringkat,” katanya.

Advertisement