Anda di sini

Pasangan warga emas kena rompak, rugi lebih RM2,000

Advertisement

MIRI: Pasangan warga emas hanya mampu melihat dua lelaki bertopeng melarikan dua unit telefon pintar dan wang tunai RM500 dalam kejadian rompakan sebuah rumah di Krokop di sini, kelmarin.

Meskipun kerugian lebih RM2,000 namun pasangan terbabit masing-masingnya berusia 65 dan 74 tahun bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh dua penjenayah terbabit.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat anak lelaki mangsa pada petang hari kejadian.

Dalam aduannya, pengadu berusia 37 tahun mendakwa sekitar jam 3.08 petang, 16 Mei lalu, ketika berada di sebuah sekolah di sini beliau dimaklumkan oleh bapanya menyatakan terdapat dua lelaki tidak dikenali masuk ke rumah mereka.

Menurut bapa pengadu, dua lelaki terbabit memakai topeng muka sambil bersenjatakan sebilah pisau dan sepucuk pistol mengambil satu unit Lenovo Notebook, satu unit Samsung Tab dan wang tunai RM500 sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bernombor pendaftaran QMG59xx.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai rompakan bersenjata dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

“Hasil siasatan awal polis, kita percaya plat nombor kenderaan digunakan kedua-dua penjenayah terbabit dipercayai plat asal memandangkan semasa suspek menyedari mangsa terlihat plat nombor terbabit mereka segera menanggalkannya,” ujar beliau.

Menurut Julaihi, kedua-dua mangsa bernasib baik kereta tidak diikat atau dicederakan dalam kejadian tersebut.

 

Advertisement