Anda di sini

Kepimpinan mantap dan keberkesanan pasukan kunci kejayaan MBKS: Wong

Advertisement

Oleh Sandy Mark Luna//

 Wong (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Chan (dua kiri) sambil disaksikan Timbalan Datuk Bandar MBKS Abang Affandi Abang Anuar (empat kiri) bersama ahli kaunselor yang lain.

UNTUK KENANGAN: Wong (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Chan (dua kiri) sambil disaksikan Timbalan Datuk Bandar MBKS Abang Affandi Abang Anuar (empat kiri) bersama ahli kaunselor yang lain.

KUCHING: Kepimpinan yang mantap serta keberkesanan pasukan menyumbang kepada kejayaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam pelbagai aspek.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mungkin satu-satunya di negeri ini berjaya meraih lebihan terkumpul yang kini sebanyak RM148 juta berbanding RM46.7 juta pada 2009.

“Pada 2008, jumlah lebihan terkumpul direkodkan MBKS adalah sebanyak RM46.7 juta tetapi kini ia meningkat kepada RM148 juta.

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih dan berterusan serta kerjasama MBKS,” katanya pada sesi bersama MBKS di sini, semalam.

Wong turut menyeru MBKS memanfaatkan dana itu untuk kebaikan penduduk dan bandar raya ini.

Menurut beliau, pencapaian cemerlang MBKS yang mendapat pengiktirafan antarabangsa wajar menjadi penanda aras serta ikutan institusi lain di negeri ini.

PBT itu di bawah pimpinan Datuk Bandar Datuk James Chan telah menerima lima anugerah antarabangsa dalam tempoh 2011 hingga 2015, selain 12 pengiktirafan peringkat kebangsaan serta negeri.

“MBKS mampu bersaing dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat kebangsaan.

“Ia bukan tugas mudah namun berkat usaha gigih, MBKS berjaya membuktikan diri sebagai sebuah institusi yang amat cemerlang hasil daripada pimpinan hebat serta pasukan yang efektif,” katanya.

Wong yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat dijadual menyerahkan jawatan Menteri Kerajaan Tempatan kepada Datuk Dr Sim Kui Hian hari ini.

 

 

Advertisement