Anda di sini

Guru Pusat Jahitan Wanita di Luar Bandar ditempatkan di enam stesen

Advertisement

KUCHING: Seramai 24 guru Pusat Jahitan Wanita di Luar Bandar dijangka akan ditempatkan di enam stesen pusat di seluruh negeri pada tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, guru berkenaan merupakan tenaga pengajar bertauliah yang berkelayakan selepas menjalani kursus dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Mereka ini sudah mempunyai pentauliahan dan kini masih menunggu untuk ditempatkan memandangkan kami perlu menaik taraf kemudahan serta peralatan di stesen yang kami kenal pasti nanti.

“Kami telah mencadangkan untuk menaik taraf kemudahan dan peralatan kepada kabinet negeri dan masih menunggu untuk peruntukan dan apabila diluluskan kami akan mengenal pasti stesen yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkembangan kemudahan Wisma Wanita yang dihadiri Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad di Wisma Wanita di Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Tambah Fatimah, kebanyakan peralatan dan kemudahan di stesen-stesen yang ada sudah uzur dan memerlukan mesin jahit baharu mengikut perubahan masa dan kehendak masa kini.

Jelasnya, ia selari dengan kurikulum yang dijalani para guru berkenaan yang bukan sahaja berasaskan jahitan pakaian lelaki dan wanita tetapi jahitan kreatif.

“Kami menambahkan kurikulum jahitan kreatif bagi membolehkan mereka meningkatkan kemahiran sekali gus menambah pendapatan keluarga.

“Kita perlu berubah mengikut masa terutama berkaitan dengan perhiasan dalam rumah,” katanya.

Fatimah berkata dengan penempatan guru-guru jahitan berkenaan nanti, ia memberi kemudahan dan manfaat kepada wanita luar bandar kerana mereka tidak perlu meninggalkan kampung atau keluarga untuk menyertai kursus berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata para guru jahitan berkenaan bukan sahaja menerima pentauliahan yang diiktiraf menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tetapi juga di bawah skim gaji Jawatan Bertaraf Caruman (JBC).

“Mereka menjalani kursus pentauliahan daripada JTK dan kini mereka di bawah skim gaji JBC berbanding sebelum ini pekerja harian.

“Kami percaya dengan ini mereka mempunyai banyak peningkatan khasnya dari segi kursus dan skim gaji,” katanya.

 

Advertisement