Anda di sini

DADAH: Lelaki Kemboja, wanita Vietnam dihukum gantung

Advertisement
 Nguyen (kiri) diiringi keluar dari bilik tahanan oleh seorang anggota polis.

HUKUM GANTUNG: Kong (tengah) dibawa keluar dari bilik tahanan setelah dijatuhi hukuman. EDAR DADAH: Nguyen (kiri) diiringi keluar dari bilik tahanan oleh seorang anggota polis.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki Kemboja dan seorang wanita Vietnam atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine tiga tahun lalu.

Hakim Lee Heng Cheong menjatuhkan hukuman itu setelah menyabitkan kedua-dua tertuduh, Kong Rin dan Nguyen Thi Kim Tuyen bersalah terhadap pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika prosiding, Lee memberitahu pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Katanya, setelah meneliti kes pendakwaan dan kenyataan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati kenyataan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dikemukakan oleh pendakwa raya terhadap mereka.

“Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

“Dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Kong didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2,222.2 gram di hadapan pintu keluar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sibu pada 27 November 2013, kira-kira jam 11.38 pagi.

Manakala, Nguyen didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2,159.37 gram pada tarikh dan tempat yang sama kira-kira jam 11.40 pagi.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 serta dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

 

Advertisement