Anda di sini

Padang ragbi serba lengkap dicadangkan dibina di Miri

Advertisement

MIRI: Sebuah padang ragbi lengkap dengan kemudahan asas dicadangkan dibina di sini berikutan sukan lasak itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja bagi kaum lelaki tetapi kalangan wanita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata cadangan tersebut akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan untuk memohon sebidang tanah.

“Kita akan memohon sebidang tanah untuk aktiviti sukan lasak seperti ragbi kerana kita menyedari sukan itu semakin popular bukan sahaja kalangan lelaki malah wanita,” katanya merasmikan penutupan Kejohanan Ragbi Hornbills Siri 10 anjuran Persatuan Ragbi Bahagian Miri di sini petang kelmarin.

Dennis berkata, sukan ragbi di sini semakin mendapat tempat dengan penganjuran beberapa kejohanan oleh pihak kelab ragbi tempatan.

“Kita percaya jika sukan ragbi dibangunkan dengan lebih baik maka tidak mustahil kita boleh melahirkan pemain-pemain ragbi profesional sekali gus menjadikan Miri kuasa besar sukan lasak itu,” jelasnya.

Dennis berkata, kejohanan sedemikian juga bukan sahaja dapat mengasah bakat pemain-pemain muda tetapi pada masa sama menerapkan semangat berpasukan dan kerjasama tinggi.

“Kerjasama dalam berpasukan amat penting untuk mencapai kejayaan dan sebab itu kita menggalakkan lebih banyak kejohanan sukan dianjurkan bagi menerapkan nilai-nilai kerjasama kalangan pemain,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah (SM) Sains mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara bagi kategori bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun apabila masing-masing mengalahkan SMK Lutong dalam kategori masing-masing.

Pasukan Hornbill A pula mencipta kemenangan dalam kategori bawah 19 tahun selepas mengalahkan Bintulu Ragbi Junior dalam perlawanan akhir.

Bagi kategori wanita pula, pasukan Letto Rhinos Jr menjuarai kategori itu selepas mengalahkan SMK Lutong.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Dennis sambil disaksikan Residen Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis dan Presiden Baram Rhinos Rugbi Club, Alwi Mustapha.

Advertisement