Anda di sini

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar beroperasi di pejabat baharu

Advertisement
 Awang Tengah (dua kanan) dan Rundi (kanan) menunjukkan papan nama pejabat baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar yang mula beroperasi di Bangunan ST3, Jalan Simpang Tiga di Kuching semalam.

BAHARU: Awang Tengah (dua kanan) dan Rundi (kanan) menunjukkan papan nama pejabat baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar yang mula beroperasi di Bangunan ST3, Jalan Simpang Tiga di Kuching semalam.

KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memulakan operasi di pejabat baharu yang terletak di  Tingkat 1, Bangunan ST3, Jalan Simpang Tiga di sini berkuat kuasa semalam.

Majlis perasmian pejabat baharu JBALB disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan.

Berucap pada majlis itu, Awang Tengah berkata penubuhan JBALB telah diluluskan pada 2015 untuk mengambil alih tanggungjawab bekalan air daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berkuat kuasa 1 Ogos 2015 sebelum diwartakan pada 19 April 2016.

“Meskipun saya bukan lagi menteri yang bertanggungjawab dalam bidang ini, tetapi cadangan bagi mewujudkan jabatan ini telah dikemukakan ketika saya masih Menteri Kemudahan Awam.

“Malah penghargaan harus diberikan kepada dua menteri muda saya Datuk Dr Stephen Rundi dan Datuk Sylvester Entri Muran yang merupakan orang penting dalam pengwujudan jabatan baharu ini.

“Saya harap, Rundi yang telah dilantik sebagai Menteri Kemudahan Awam akan meneruskan usaha kementerian untuk meningkatkan liputan bekalan air kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah yang merupakan bekas Menteri Kemudahan Awam berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sebanyak 795 projek telah dicadangkan untuk pelaksanaan dan dijangka memberi manfaat kepada79,130 isi rumah.

Bagaimanapun katanya, hanya 218 projek telah diluluskan dengan peruntukan siling RM3.54 bilion dalam RMK11.

Dari segi permintaan ke atas bekalan air, ia menyaksikan peningkatan drastik dari tahun ke tahun berikutan peningkatan populasi dan liputan bekalan air.

Di mana dalam tempoh lima tahun ini sahaja, populasi meningkat daripada 788,000 kepada 1,254,000 dan panjang paip bekalan air meningkat daripada 4,400 kilometer (km) kepada 6,700 km.

“Tanggungjawab bekalan air semakin mencabar berikutan pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini dan peningkatan permintaan terhadap bekala air di kawasan luar bandar.

“Sehubungan itu, sebuah jabatan yang berdedikasi diperlukan untuk menggalas tanggungjawab ini dengan baik.

“Saya berharap, kakitangan JBALB akan menjalankan tugas mereka dengan efektif dalam merancang, mereka bentuk dan membangunkan sumber air mentah dan sistem bekalan di seluruh negeri,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu semalam, Menteri Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Pengarah JBALB Daniel Wong serta yang lain.

Advertisement