Anda di sini

Ops Pacak tumpu kawasan panas di sempadan M’sia-Thai

Advertisement

KOTA BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberi tumpuan terhadap kawasan ‘panas’ aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan melalui Ops Pacak.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata operasi selama 15 hari bermula hari ini akan memberi fokus terhadap tiga kawasan utama sering berlaku penyeludupan iaitu Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).

“Seramai 154 anggota daripada pelbagai agensi akan ‘berkampung’ di kawasan tersebut sepanjang tempoh operasi berlangsung dalam usaha membasmi penyeludupan rokok haram, mercun, barangan subsidi serta barangan kritikal lain,” katanya ketika melancarkan Ops Pacak di Pejabat JKDM Padang Bongor di sini, semalam.

Matrang berkata agensi lain yang terlibat dalam Ops Pacak termasuklah polis, Jabatan Imigresen, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata operasi berkenaan adalah lanjutan daripada Ops Outlet yang bermula sejak 2010 yang memberi fokus kepada penyeludupan rokok sebelum diperluas kepada komoditi minuman keras pada 2014.

Matrang berkata di bawah Ops Outlet, sehingga April 2016 sebanyak 46,361 premis telah diperiksa dengan 11,968 kes direkodkan serta rampasan sebanyak RM147.60 juta.

“Pada masa sama seramai 7,918 orang yang disyaki telah ditahan dengan 2,952 kes sudah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Matrang berkata jabatan itu sentiasa mengambil tindakan dan langkah serius dalam menangani kegiatan penyeludupan termasuk mengadakan operasi khas di sempadan darat Malaysia-Singapura, Malaysia-Thailand, pelabuhan utama negara dan pulau bebas cukai Langkawi.

“Semua ini adalah bertujuan untuk mencegah penyeludupan dan memutuskan bekalan barangan kritikal daripada memasuki pasaran tempatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh menghubungi JKDM di talian 1-800-88-8855. — Bernama

Advertisement