Anda di sini

Kuching melangkah ke final Liga Bola Sepak Rakyat

Advertisement
 Barisan pemain dan jurulatih Kuching meraikan kejayaan selepas berjaya melangkah kaki ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 Peringkat Kebangsaan semalam.

GEMBIRA: Barisan pemain dan jurulatih Kuching meraikan kejayaan selepas berjaya melangkah kaki ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 Peringkat Kebangsaan semalam.

KUCHING: Sejarah baharu tercipta selepas Kuching berjaya melangkah ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 Peringkat Kebangsaan petang semalam.

Skuad bimbingan Sahrizan Sahari itu berjaya menumpaskan wakil dari Pahang, Temerloh dengan jaringan 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua berlangsung di Stadium Mini Temerloh semalam.

Kuching mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Kuching.

Mohd Shahfitri Salim muncul wira Kuching dengan meledakkan dua jaringan pada minit ke-15 dan 85.

Manakala gol sagu hati pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-90.

“Syabas kepada semua pemain kerana berjaya memastikan kemenangan menjadi milik Kuching sekali gus m e m – b o l e – hkan kita melangkah ke perlawanan akhir kejohanan peringkat kebangsaan julung kali ini,” kata Pengurus Pasukan Kuching, Iswandi Ali Hassan ketika dihubungi semalam.

Menurut Iswandi, beliau cukup kagum dengan semangat perjuangan serta karektor terbaik ditunjukkan oleh semua pemain biarpun beraksi di laman lawan berdepan Temerloh.

“Semua pemain berjaya mengikut apa yang telah dirancang oleh jurulatih sepanjang 90 minit permainan,” katanya.

Untuk rekod, ini merupakan kekalahan pertama Temerloh sejak liga bermula pada Ogos 2015.

Kuching bakal berdepan Padang Besar (Perlis) atau Batang Padang (Perak) pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 28 Mei depan di Stadium Selayang, Selangor.

 

Advertisement