Anda di sini

Stadium Boling Padang baharu bakal lonjakkan nama Sarawak

Advertisement

KUCHING: Stadium Boling Padang baharu terletak di Kompleks Stadium Sarawak, Petra Jaya bakal melonjakkan nama Sarawak sebagai kuasa baharu dalam sukan tersebut di negara ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh jurulatih boling padang kebangsaan, Zuraidi Puteh sambil melahirkan rasa kagum dengan komitmen Sarawak membangunkan sukan itu ke tahap lebih tinggi.

“Stadium baharu ini akan memberi impak sangat besar dalam pembangunan dan perkembangan sukan boling padang di Sarawak.

“Sudah semestinya Sarawak akan menjadi satu kuasa besar dalam sukan boling padang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Zuraidi, sukan boling padang di Sarawak amat bertuah kerana dibimbing oleh Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Awang Mahyan Awang Mohamed yang cukup disegani.

Katanya, Awang Mahyan telah membuktikan kewibawaannya membangunkan sukan boling padang di negeri ini dan mempunyai misi amat besar memastikan Sarawak terus cemerlang masa akan datang.

“Dengan adanya pemimpin seperti Awang Mahyan, saya cukup yakin perkembangan dan kemajuan sukan boling padang Sarawak sangat cerah dan mampu mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Bekas jurulatih Sarawak itu juga optimis stadium baharu itu menjadi perangsang kepada atlet-atlet boling padang Sarawak memburu kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di sini pada 22 hingga 31 Julai depan.

Di bawah kendalian Zuraidi (2004-2009), Sarawak pernah merangkul juara keseluruhan pada SUKMA Terengganu (2008) dengan menggondol dua emas dan tiga gangsa.

Menyentuh persiapan Malaysia menghadapi Sukan SEA 2017 dan Komanwel, Zuraidi berkata ketika ini atlet-atlet negara sibuk menjalani latihan dalam dan luar negara di bawah program ‘Podium’ dan ‘Kita Juara’.

Bagi memantapkan persiapan, atlet-atlet negara terus mengikuti beberapa kejohanan pendedahan dan terkini menyertai Kejohanan Boling Padang Terbuka Australia.

“Untuk Sukan SEA 2017, kita mensasarkan empat pingat emas dalam acara individu, berpasangan, bertiga dan berempat. Kita masih belum memuktamadkan senarai atlet dan senarai terakhir dikeluarkan pada Mac 2017,” katanya sambil menambah turut memantau atlet-atlet berpotensi pada SUKMA Sarawak untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Menurutnya, Malaysia akan menghadapi saingan sengit daripada Brunei Darussalam dan Filipina.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam acara boling padang Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan menggondol lima pingat emas.

Advertisement