Anda di sini

LBR: Kuching optimis mampu lakar kejutan

Advertisement

KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching, Sahrizan Sahari optimis skuadnya mampu melakar kejutan ke atas Temerloh (Pahang) pada aksi separuh akhir kedua Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 Peringkat Kebangsaan di Stadium Mini Temerloh petang ini.

Sahrizan berkata, anak-anak buahnya telah membuat persiapan rapi untuk memenangi perlawanan petang ini selepas diikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Kuching dua minggu lalu.

“Kita telah membuat persiapan rapi selama dua minggu dan fokus lebih tertumpu ke arah mempertajam jentera serangan yang agak tumpul pada aksi separuh akhir pertama lalu.

“Saya cukup lega kerana semua pemain bebas daripada kecederaan dan berada pada kondisi terbaik untuk berdepan ujian Temerloh nanti,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Kuching bakal turun tanpa khidmat penyerang berbisa, Epienizam Effendi selepas mengutip dua kad kuning.

Akui ketiadaan ‘Epi’ sedikit merencatkan percaturan Kuching, Sahrizan tetap memandang positif situasi itu sambil meletakkan harapan di bahu penyerang lain menggalas tugas itu.

“Saya tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain sedia ada untuk melakar kejutan ke atas Temerloh pada aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.

Epienizam meledak gol Kuching pada aksi separuh akhir pertama sebelum pemain Temerloh (Mohammad Suhaili) menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Iswandi Ali Hassan turut yakin Kuching masih berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir.

Beliau bagaimanapun menggesa semua pemain fokus dan paling penting tidak melepaskan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol.

Advertisement