Anda di sini

Tukang masak ditangkap bersama 7kg ganja

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang tukang masak tempatan bakal berhadapan hukuman mati selepas ditangkap bersama 7,000 gram ganja bernilai RM63,000 di sebuah pejabat kurier di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah Superintenden Mohamed Fadzil Rahman berkata, suspek yang berusia 28 tahun ditangkap sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) pada jam 5 petang 10 Mei dan 11 pagi 11 Mei.

Katanya, tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat risikan yang mengatakan sindiket dadah menyeludup masuk dadah menggunakan perkhidmatan kurier melalui laluan udara ke Sabah.

“Polis Narkotik dan kumpulan STING segera melakukan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan menunggu suspek untuk menuntut bungkusan di kurier terbabit.

“Kira-kira jam 5 petang pada hari penangkapan, seorang lelaki dilihat berjalan keluar dari perkhidmatan pejabat kurier dengan membawa sebuah bungkusan.

“Sebaik diperiksa, polis mendapati suspek membawa tiga paket ganja di dalam bungkusan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini kelmarin.

Fadzil berkata, siasatan lanjut mendapati suspek bertindak menuntut sebuah lagi bungkusan pada hari berikutnya.

“Bungkusan kedua yang dihantar pada hari berikutnya mengandungi empat peket ganja selepas pemeriksaan lanjut.

“Polis turut merampas tiga kenderaan, Isuzu D-Max, sebuah Perodua Viva dan sebuah motosikal Kawasaki dari rumah suspek di Penampang dengan nilai rampasan sebanyak RM128,500.

“Suspek ditahan dan polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Menurut Fadzil, suspek dipercayai telah aktif dalam sindiket itu sejak 2015.

“Kita masih menyiasat kes ini selain mengesan rakan sejenayah suspek yang turut terlibat dalam kes ini,” katanya.

Advertisement