Anda di sini

Samarahan dominasi futsal pendidikan khas

Advertisement
 (Dari enam kanan) Susan dan Vendery merakamkan kenangan bersama pemenang kategori sekolah menengah dan tetamu lain selepas majlis penyampaian hadiah.

KENANGAN: (Dari enam kanan) Susan dan Vendery merakamkan kenangan bersama pemenang kategori sekolah menengah dan tetamu lain selepas majlis penyampaian hadiah.

Pertandingan beri peluang kepada pemain OKU mengetengah bakat

KUCHING: Bahagian Samarahan mendominasi Pertandingan Futsal Pendidikan Khas Peringkat Negeri Sarawak 2016 yang melabuhkan tirai di Dewan Tun Taib Sekolah Tunku Putra, Petra Jaya kelmarin.

Ia selepas kejayaan mereka merangkul juara dalam kategori sekolah rendah dan menengah pada temasya yang berlangsung pada 11 dan 12 Mei lalu.

Dalam kategori sekolah menengah, Samarahan A muncul juara selepas membenam Lundu dengan jaringan 2-1.

Tempat ketiga disandang Padawan B yang berjaya mengatasi Samarahan Asajaya 4-3 dalam aksi ‘play-off.

’ Samarahan turut cemerlang dalam kategori sekolah rendah apabila berjaya menundukkan Kuching juga dengan 2-1 untuk bergelar johan.

Padawan yang menang tipis 1-0 ke atas Serian A menduduki tempat ketiga.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Vendery Milah Nata dan Pengetua Sekolah Tunku Putra, Susan Holmes menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Terdahulu, Vendery dalam ucapannya berkata pertandingan tersebut memberi peluang kepada pemain Orang Kelainan Upaya (OKU) mengetengah bakat mereka dalam sukan futsal.

Secara tidak langsung, pertandingan itu juga menjadi landasan kepada pemain meningkatkan kemahiran mereka, katanya lagi.

“Pertandingan ini memberi peluang kepada pemain mengasah bakat mereka dalam sukan futsal.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Mohamad Izamri Othman merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama diberikan sepanjang dua hari pertandingan itu dijalankan.

“Ini merupakan Program Pendidikan Khas Intergrasi Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan Ulu, Kuching yang secara tidak langsung berperanan merapatkan hubungan silaturahim antara semua yang terlibat,” jelasnya.

Sejumlah 10 pasukan mewakili pejabat pendidikan daerah (PPD) dari seluruh negeri mengambil bahagian pada pertandingan kali ini iaitu Kuching, Samarahan, Bau, Lundu, Padawan, Serian, Sarikei, Bintulu, Sibu dan Daro.

 

Advertisement