Anda di sini

Pemuda miliki motosikal curi dipenjara enam bulan

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap seorang pemuda yang mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Mickey Garai, 23, turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula 18 April lepas.

Mickey yang berasal dari Rumah Sawing, Kanowit didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik Sudom Bero.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 April, 2016, jam 11 malam hingga 11 April, 2016, jam lebih kurang 12 tengahari di No.4C, Jalan Belian.

Bagi pertuduhan itu, Mickey didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, seorang pemuda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman empat bulan penjara atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya iaitu Amphetamine, Methamphetamine, MDMA dan MDA.

Nicholas Luta, 23, didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan bertempat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada 25 Mei, 2012, kira-kira jam 10.45 pagi.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15(1), Akta yang sama.

 

Advertisement