Anda di sini

Skuad bola tampar negara sasar lima teratas kejohanan lelaki Asia 2017

Advertisement

SIBU: Pasukan bola tampar negara menyasarkan kedudukan lima teratas pada Kejohanan Bola Tampar Lelaki Asia 2017 yang akan berlangsung di Gelanggang Bola Tampar Shah Alam pada bulan Mei tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) Dr Gregory Hii berkata, satu jawatankuasa penganjur yang ditubuh bagi menguruskan persediaan bagi kejohanan itu kini juga telah bergerak sepenuhnya.

“Kita perlu membuat persediaan awal dan pada masa sama amat serius untuk memenangi kejohanan ini untuk negara,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Kejohanan Bola Tampar Lelaki Asia ini merupakan kejohanan pemanas badan bagi Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29 2017, yang juga akan berlangsung di Malaysia.

Tidak seperti Sukan SEA, Kejohanan Bola Tampar Lelaki Asia ini turut disertai negara China, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.

Hii mengaku saingan pada kejohanan itu nanti pasti amat sengit buat pasukan negara, terutama pasukan dari China dan Korea.

Beliau juga memberitahu Malaysia akan menghantar pasukan bayangan bagi Sukan SEA untuk menyertai kejohanan itu nanti untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain.

Dalam pada itu, katanya, MAVA amat berbangga kerana diberi kepercayaan oleh Persekutuan Bola Tampar Asia bagi menganjurkan kejohanan terbabit.

“Kita amat berbangga diberi peluang untuk menganjurkan kejohanan ini dan bagi peminat sukan bola tampar, ini merupakan peluang kepada mereka untuk mel ihat pemain handalan dunia beraksi,” ujar Hii.

Advertisement