Anda di sini

Pemaju tidak hormat kerajaan negeri: NGO

Advertisement

Mereka berani meroboh dan membersih tanah secara haram kerana denda terlalu rendah

GEORGE TOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan semalam menegaskan bahawa pemaju di negeri ini tidak takut kepada kerajaan negeri.

Chant Citizen Awareness Group menerusi penasihatnya Yan Lee berkata, pemaju tidak takut melakukan perobohan dan pembersihan tanah secara haram kerana denda yang bakal dikenakan terhadap mereka atas kesalahan itu terlalu rendah.

“Bukit ditarah, bangunan bersejarah dirobohkan secara haram tetapi syarikat terlibat hanya perlu membayar denda yang kecil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Di bawah Seksyen 70A (1) akta yang sama, mereka yang didapati bersalah akan berhadapan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pemaju tidak takut kepada undang-undang kerana pihak majlis tempatan sendiri dan kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang perkara itu daripada berlaku.

Yan Lee mendakwa bahawa terdapat beberapa kejadian pembersihan bukit secara haram seperti Bukit Kukus di Paya Terubong dan terkini, pembersihan tanah secara haram di Teluk Bahang untuk membina kuil seni mempertahankan diri Shaolin, sekolah antarabangsa, kolej, hotel empat bintang dan lebih 2,100 unit kediaman.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan bahawa akan ada dron bagi memantau lereng bukit untuk mengelakkan pembersihan bukit haram. Apa statusnya sekarang?” soalnya.

Selain Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, satu lagi undang-undang yang boleh digunakan adalah di bawah Seksyen 19 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang membawa denda maksimum RM500,000 dan/atau penjara tidak lebih daripada dua tahun jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, tiada pesalah alam sekitar atau pihak yang merobohkan secara haram dipenjarakan atas kesalahan yang dilakukan.

Penasihat kumpulan itu juga telah menghantar surat kepada Penang Institute, sebuah kumpulan pemikir kerajaan negeri untuk mendapatkan panduan bagi membantu kerajaan negeri menangani masalah tersebut.

“Masalah ini semakin teruk dari sehari ke sehari dan saya berharap Penang Institute dapat membantu melindungi Pulau Pinang daripada pembersihan ta-nah haram dan perobohan haram di masa depan,” katanya. — Bernama

Advertisement