Anda di sini

Isu wakil Cina dalam kabinet telah dibincang dengan KM

Advertisement

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai wakil Cina dalam kabinet negeri.

Menurut Dr Sim, perbincangan yang diadakan sebelum ini bagaimanapun masih menjadi prerogatif Ketua Menteri menentukannya.

“Kami memang telah berbincang dengan Yang Amat Berhormat sebelum ini dan ia berkaitan  peruntukan dalam kabinet negeri untuk kaum Cina selain isu calon langsung BN.

“Seperti apa yang anda ketahui, banyak perubahan dan dinamik sedang berlaku buat masa sekarang dan saya sudah menghulurkan jemputan kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP), bukan sahaja kepada wakil rakyat tetapi juga ahli kerana dari mula lagi, kami berasal daripada keluarga yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa turun padang mengadakan pertemuan dengan masyarakat sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pengundi di Kuching City Mall di sini, semalam.

Menurut Dr Sim, SUPP ikhlas mempelawa kembali bekas pemimpin dan ahli SUPP berkaitan dan bukan gimik semata-mata.

“Saya cukup ikhlas untuk memberitahu anda bahawa apabila kita melakukan perkara ini, kita perlu mematuhi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana ada peraturan dan prosedur.

“Ia adalah tidak bertanggungjawab bagi saya untuk menjanjikan anda itu dan ini tetapi kemudian, anda hanya perlu berjumpa dengan seorang individu untuk membuat laporan kepada ROS dan pendaftaran kami dibatalkan,” tegasnya lagi sambil memberitahu bahawa beliau tidak mahu melihat situasi sebelum ini di mana pada 2014, SUPP nyaris dibatalkan pendaftarannya.

Tambah beliau, kini sudah tiba masanya bagi semua pihak kekal bersatu dalam satu entiti sepertimana yang digambarkan pada keputusan pilihan raya baru-baru ini dan ia pasti mengekalkan mandat kuat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal tiba.

“Namun untuk memilih wakil Cina dalam kabinet negeri ia terpulang kepada Ketua Menteri dan saya telah menyatakan kepada beliau bahawa amat penting Cina ada wakil.

“Apabila pengundi Cina beralih arah memberi sokongan kepada BN ia menjadi petunjuk bahawa mereka mahukan wakil dalam kerajaan dan itu keikhlasan yang digambarkan mereka,” katanya.

Pada keputusan PRN minggu lepas, Dr Sim merampas semula kerusi kubu kuat DAP apabila mengejutkan penyandang Christina Chiew dan calon Bebas, Liu Thian Leong dengan majoriti 2,085 undi.

Sementara Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting menang di Piasau, begitu juga dengan dua Naib Presiden Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Datuk Lee Kim Shin (Senadin).

Parti itu turut memenangi kerusi Repok (Datuk Dr Huang Tiong Sii), Meradong (Ding Kuong Hiing dan kerusi baharu Batu Kitang (Lo Khere Chiang).

Bekas pemimpin SUPP yang menang sebagai calon langsung adalah Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnichal Rayong Ngipa (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar) manakala bekas ahli SUPP Datuk Tiong Thai King menang di Dudong.

Advertisement