Anda di sini

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di Samarahan

Advertisement

KUCHING: Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak tahun ini akan diadakan di Samarahan pada 24 hingga 26 Mei dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Sempena sambutan berkenaan, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan akan turut mengadakan aktiviti prasambutan peringkat daerah bermula 17 hingga 24 Mei ini.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah Majlis Penjulang Ilmu (Wacana Intelek), Program Senam Kecergasan, Program Semarak Kerohanian (Aktiviti Keagamaan), Program Jiwa Murni (Gotong-Royong Hari Guru) dan Malam Kemenjadian Murid.

Sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri, Pameran Inovasi Pendidikan akan diadakan selama dua hari di Lobi Summer Mall bermula jam 9 pagi hingga 9 malam pada 25 Mei 2016 (Rabu) dan 9 pagi hingga 3 petang pada 26 Mei 2016 (Khamis).

Program derma darah yang merupakan sebahagian aktiviti prasambutan peringkat daerah juga akan diadakan pada 25 Mei 2016 di tempat yang sama.

Justeru, orang ramai dijemput untuk memeriahkan aktiviti dengan datang beramai-ramai ke pameran dan program derma darah tersebut.

Sementara itu, Majlis Apresiasi Guru 2016 sempena Hari Guru akan diadakan pada 25 Meidi Hotel Imperial, Kuching.

Pada majlis ini nanti akan disampaikan lima anugerah iaitu Anugerah Tokoh Pencapaian Khas Guru, Anugerah Ikon Guru, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Pendidikan Khas Cemerlang serta Anugerah Kepimpinan Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Selain itu, hadiah serta sijil juga akan disampaikan kepada para pemenang yang cemerlang dalam akademik serta kokurikulum.

Antologi Guru dan Buku Inovasi yang memuatkan nukilan penulisan serta karya guru akan dilancarkan pada majlis yang sama.

Acara kemuncak kepada Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri tahun ini ialah Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2016 yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 26 Mei 2016 (Khamis) di DeTAR Putra, UNIMAS pada jam 8 pagi.

Semasa Majlis Pelancaran Hari Guru itu nanti, Anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2016 akan di-umumkan.

Advertisement