Anda di sini

Adenan istimewa di mata rakyat Sarawak

Advertisement

Sikap mesra, telus, kotakan janji, membela nasib rakyat jadikan Ketua Menteri amat disenangi 

// Oleh Rusnan Mustafa //

 Adenan ditemani isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu menunjukkan riak wajah yang gembira selepas mendengar keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-11.

DISEGANI RAKYAT: Adenan ditemani isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu menunjukkan riak wajah yang gembira selepas mendengar keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-11.

KUCHING: Populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan sikapnya yang mesra, telus, berpegang kepada janji dan membela nasib rakyat menjadikan beliau amat disenangi dan disukai masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Adenan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu membuktikan setiap golongan rakyat di Sarawak menyokong penuh kepimpinan beliau untuk terus menjadi Ketua Menteri bagi mentadbir dan mengurus negeri ini ke arah yang lebih baik.

Ketua Masyarakat Bidayuh Kuching Temenggung Austin Dimin memberitahu, kemenangan besar BN itu sudah dijangka kerana kecemerlangan Ketua Menteri bersama pasukannya dalam mengurus tadbir negeri ini walaupun hanya dalam masa dua tahun sahaja Adenan memegang tampuk kepimpinan.

“Adenan merupakan Ketua Menteri yang terbaik dan kehadiran beliau memimpin negeri ini adalah tepat pada masanya.

“Kami masyarakat Bidayuh sentiasa menyokong kepimpinan dan dasar yang dibawa oleh Ketua Menteri demi pembangunan dan kemajuan rakyat Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada masa sama Austin menjelaskan bahawa visi dan misi yang dibawa oleh Adenan yang turut menekankan kebajikan rakyat menjadikan beliau sentiasa dekat di hati sekali gus meningkatkan lagi popularitinya di negeri ini.

“Beliau (Adenan) juga seorang Ketua Menteri yang adil kepada semua kaum yang ada di negeri ini dan menepati janji menjadikan beliau amat dekat di hati rakyat,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat kerajaan BN di peringkat negeri dan pusat menjadikan setiap perancangan pembangunan untuk rakyat Sarawak dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Katanya kekerapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi datang ke Sarawak membuktikan komitmen kerajaan untuk membangunkan negeri ini.

“Sekarang kerajaan sedang melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah pastinya memberi keselesaan kepada kita di negeri ini untuk bergerak dan pada masa sama meningkatkan lagi aktiviti ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MCF Global Sdn Bhd Muhammad Musyirin Hendari berkata, kemenangan besar BN pada PRN11 adalah hasil kerja keras yang telah diberikan Team Adenan  dalam membangunkan rakyat  negeri ini.

“Adenan seorang Ketua Menteri yang mementingkan semua kaum yang ada di Sarawak, pendidikan untuk semua bangsa juga diberi keutamaan dan beliau juga lantang memperjuangkan hak istimewa negeri ini,” jelasnya.

Malah, beliau menyifatkan Adenan seorang yang istimewa di mata rakyat Sarawak kerana mengotakan setiap janji yang diberikan.

“Beliau berjanji untuk memasuhkan tol sekarang tiada lagi tol di Sarawak, beliau kata nak turunkan tarif elektrik sekarang sudah ditunaikan dan cukai tanah dimasuhkan serta cukai pintu diturunkan demi mengurangkan beban rakyat,” tegasnya.

Pada PRN11, 7 Mei lalu, BN menang 72 daripada 82 kerusi yang mana tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berjaya ditawan.

Mengikut pecahan parti komponen BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang semua 40 kerusi ditandingi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang tujuh, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang semua 11 kerusi, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang tiga kerusi dan calon langsung BN menang 11 kerusi.

Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 40 kerusi menang tiga kerusi dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di 31 kerusi tetapi hanya menang tujuh.

Advertisement