Anda di sini

Pencuri kabel berjaya ditahan, rakan berjaya melarikan diri

Advertisement

KUCHING: Tindakan berani sekumpulan lelaki yang kembali buat kali kedua untuk mencuri kabel dari sebuah kilang di Taman Perindustrian Demak Laut di sini, membawa padah apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan, awal pagi semalam.

Suspek berusia 46 tahun dari Kampung Bako ditahan oleh pengawal keselamatan selepas dia dan beberapa lelaki lain muncul sekitar jam 2 pagi semalam dipercayai untuk mencuri kabel.

Rakan-rakannya yang lain bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Menurut sumber, kumpulan sama yang ke lokasi itu sekitar jam 2 pagi Sabtu lepas turut mengugut pengawal keselamatan bertugas dengan senjata tajam sebelum melarikan diri bersama kabel.

Mereka bagaimanapun terkejut apabila pengawal keselamatan berkenaan menunggu bersama rakan setugas lain menyerbu kumpulan tersebut.

Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki cedera parah apabila tersepit manakala seorang lagi cedera ringan apabila kenderaan jenis pikap berlanggar dengan sebuah lori berhampiran Kampung Simunim Cina, Lundu, dekat sini berlaku sekitar jam 8 malam Sabtu.

Menurut maklumat daripada pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 8.46 dan diserahkan kepada pihak ambulans.

Mangsa yang cedera ringan berjaya keluar sendiri juga dibawa ke Hospital Lundu untuk menerima rawatan.

Advertisement