Anda di sini

Kerajaan tumpu pembangunan pendidikan

Advertisement

Oleh Agnes Tugong//

 Abang Johari (dua kanan) melawat bangunan baharu SJK (C) Chung Hua No.4 di Jalan Nanas, Satok semalam.

LAWATAN: Abang Johari (dua kanan) melawat bangunan baharu SJK (C) Chung Hua No.4 di Jalan Nanas, Satok semalam.

KUCHING: Kerajaan amat menekankan aspek pembangunan pendidikan dalam kalangan rakyat di negeri ini tanpa mengira jenis aliran sekolah.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, satu-satunya cara untuk mentransformasi rakyat adalah melalui pendidikan.

Sebab itu, katanya, beliau amat menekankan aspek pendidikan di sekolah Melayu, Cina, mubaligh dan semua sekolah yang ada di negeri ini.

“Saya bernasib baik kerana mendapat kerjasama yang baik daripada lembaga sekolah Cina sekali gus memudahkan usaha berkaitan pembangunan pendidikan Cina dilaksanakan.

“Sebab itu, kita mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) kerana kita mahu mereka menyumbang kembali kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena lawatan bagi meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua No. 4 di sini semalam.

Pada lawatan itu, Abang Johari memuji kepantasan pihak kontraktor menyiapkan bangunan baharu tersebut tanpa mengabaikan kualiti kerja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bangunan, Jonathan Chai berkata kerja-kerja pembinaan bangunan baharu itu menelan kos lebih RM4.5 juta, namun pihak kontraktor hanya menuntut bayaran sebanyak RM3.3 juta.

Kerja-kerja pembinaan bangunan baharu ini siap dalam tempoh empat bulan dan ia merangkumi lapan bilik darjah, kantin, pejabat kakitangan serta sebuah dewan serbaguna lengkap yang memuatkan tiga buah gelanggang badminton.

Sebahagian daripada peruntukan bagi membiayai kerja-kerja pembinaan bangunan itu telah disumbangkan oleh Abang Johari iaitu sebanyak RM800,000, manakala RM1.5 juta lagi diperolehi daripada kerajaan menerusi Senator Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.

 

Advertisement