Anda di sini

Parti pembangkang tidak bawa kebaikan

Advertisement

KUCHING: Rakyat di negeri ini perlu menyedari hakikat bahawa parti pembangkang (PAS, PKR dan DAP) dari Semenanjung Malaysia yang cuba untuk bertapak di Sarawak tidak membawa apa-apa kebaikan.

Penganalisis politik Datuk Peter Minos berkata, parti pembangkang bukan sahaja tidak mengetahui asal usul negeri ini, bahkan mempunyai perbezaan, budaya dan cara politik yang asing.

“Mereka (pembangkang) hanya tahu untuk mencari kesalahan dan mengkritik orang lain dan sikap ini jelas menunjukkan sesuatu yang negatif.

“Mereka tiada tawaran yang baik mahupun positif kepada rakyat negeri ini malah mereka juga telah menunjukkan bahawa mereka tidak teratur dan tidak bersatu padu.

“Justeru, faktor ini adalah kuat untuk kita (rakyat) terus menolak parti pembangkang ini,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas kepada pemberita, semalam.

Malah jelasnya lagi, sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) depan, Sarawak pastinya tidak akan ditadbir dan diurus sebetulnya dan rakyat negeri ini juga akan dijajah oleh kepimpinan dari Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah membuktikan kepada rakyat negeri ini bahawa beliau mampu membawa Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

“Rakyat Sarawak tidak takut bergantung harap kepada Tok Nan (Adenan) khususnya dalam pembawaan ke arah negeri maju dan membangun. Malah beliau juga telah membuktikan mampu melindungi hak-hak rakyat secara keseluruhannya.

“Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Tok Nan telah menunjukkan kecemerlangan selama dua tahun beliau memegang tampuk kepimpinan negeri ini, apatah lagi sekiranya beliau diberi mandat besar untuk terus mentadbir selama lima tahun lagi, pasti lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di sini (Sarawak),” jelasnya.

Katanya keupayaan parti pembangkang untuk mentadbir negeri ini sangat diragui lebih-lebih lagi negeri yang di bawah pentadbirannya tidak menunjukkan sebarang perubahan positif untuk rakyat secara menyeluruh.

“Seperti di Pulau Pinang, DAP menyingkirkan kaum Bumiputera dan memperkasa kaum mereka sendiri manakala PKR di Selangor pula sering menimbulkan masalah berkaitan keharmonian kaum.

“Manakala PAS pula hanya tahu berjuang mengenai hukum hudud dan tiada yang lain, dan PAS akan menjadikan negeri ini sebagai negeri yang miskin seperti Kelantan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat negeri ini untuk terus memilih BN pada PRN kali ini bagi menjamin masa depan yang cerah sekali gus menolak parti-parti pembangkang yang tidak mampu membawa pembangunan untuk negeri ini pada masa akan datang.

 

Advertisement