Anda di sini

Jentera BN diminta tingkatkan kempen sehingga hari terakhir

Advertisement

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera Barisan Nasional (BN) melipatgandakan usaha dan kerja sepenuhnya pada masa kempen yang tinggal sehari lagi bagi menentukan semua calon BN menang cemerlang.

Zahid berkata, jentera BN mesti melipatgandakan usaha dan kerja bagi memastikan semua calon BN menang dengan cemerlang.“Kita juga mahu kawasan yang dahulu di bawah pembangkang, kita ambil alih semula. Kini tinggal satu hari sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tinjauan Mesra di Rumah Maling Banta, Sungai Aup, petang semalam.

Jelasnya, jentera BN juga mesti digerak pada 7 Mei ini agar semua pengundi keluar beramai-ramai mengundi.

Semua itu katanya, amat perlu bagi membantu Tok Nan dan pasukannya menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) dengan majoriti besar.

“Apabila kerajaan yang dibentuk kuat dengan majoriti lebih dua pertiga, lebih banyak peruntukan yang dapat diperuntukkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai parti komponen BN, beliau meminta mana-mana parti dalam BN dan parti bersama BN supaya mengetepi rasa kecil hati, tidak puas hati dan marah antara satu sama lain.

“Siapa sahaja dipilih sebagai calon BN kita sokong penuh, kita sokong kuat-kuat dan sokong banyak-banyak.

“Saya minta parti komponen BN yang mungkin ada sedikit kecil hati, tidak puas hati dan kecewa, tolong ketepikan, tolong padamkan dan tolong buang jauh-jauh semua itu sehingga 7 Mei ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, ini bagi memastikan calon BN yang telah dipilih Tok Nan dan Perdana Menteri mendapat sokongan dan dorongan daripada semua pengundi.

Bercakap mengenai calon langsung BN bagi kawasan Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Zahid memberitahu ramai mengatakan calon tersebut telah tua.

Namun katanya, semua itu hanya angka atau umur sahaja kerana hati dan semangat beliau (Wong) tetap muda untuk membantu rakyat yang diwakilinya.

Beliau juga meminta semua pengundi Bumiputera di DUN Bawang Assan seperti Iban, Melayu dan lain-lain memberi sokongan yang padu kepada Wong. “Untuk pengundi Cina, saya minta mereka ubah masuk dan sokong BN,” kata Zahid yang tiga kali datang ke Sibu sejak 25 April lepas bagi membantu semua calon ‘Pasukan Adenan’ di Sibu.

 

 

Advertisement