Anda di sini

Lelaki ditahan, cederakan wanita tolak ajakan keluar

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki ditahan selepas dikatakan bertindak mencederakan rakan wanitanya yang enggan keluar bersama dengannya, kelmarin.

Difahamkan, insiden berlaku sekitar jam 11 malam apabila suspek yang berusia 21 tahun datang ke rumah mangsa di Kampung Astana Lot di sini untuk mengajak mangsa keluar.

Mangsa bagaimanapun menolak pelawaan suspek menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga suspek bertindak memukul kepala mangsa menggunakan objek keras.

“Mangsa yang cedera di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber yang turut memberitahu suspek juga mengiringi mangsa ke HUS.

Keluarga mangsa yang menyedari kehadiran suspek di HUS terus menghubungi pihak polis dan suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas dia dipukul dan diugut oleh suaminya selepas dia tidak menyediakan makan malam untuknya, semalam.

Mangsa berusia 36 tahun dan berasal dari Taman Malihah terdahulu dikatakan bertengkar dengan suaminya yang pulang ke rumah sekitar jam 10 malam dan mendapati tiada makanan disediakan untuknya.

“Ekoran itu, si suami dikatakan juga menampar isterinya beberapa kali selain mengacukan pisau ke arahnya,” kata sumber.

Mangsa yang ketakutan kemudian terus melarikan diri dari rumah dan si suami dikatakan sempat mengugut akan memaksa anak mereka minum racun sekiranya mangsa cuba bercerai dengannya.

Siasatan polis berhubung kes tersebut masih dijalankan.

Advertisement