Anda di sini

DAP bandar bazir duit kerajaan, kata Masing

Advertisement

Tindakan DAP bertanding di luar bandar hanya sia-sia kerana mereka tidak serius

// Oleh Watt Zacchaeus //

 Dr Masing (empat kanan) diperhatikan Alexander (tiga kanan), Aaron (kanan), Ingai (dua kanan) menyerahkan bantuan makanan kepada salah seorang penerima pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Ngemah di Rumah Ingai, Sungai Jih di Kanowit petang semalam.

UNTUK RAKYAT: Dr Masing (empat kanan) diperhatikan Alexander (tiga kanan), Aaron (kanan), Ingai (dua kanan) menyerahkan bantuan makanan kepada salah seorang penerima pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Ngemah di Rumah Ingai, Sungai Jih di Kanowit petang semalam.

KANOWIT: Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di kawasan luar bandar pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini hanya membazirkan duit kerajaan.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata untuk menjalankan proses pilihan raya kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa membelanjakan ratusan ribu ringgit.

“Ini kerana DAP hanya main-main dan tidak serius bertanding di kawasan luar bandar. Lagipun, parti itu tiada objektif untuk kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh, calon DAP yang menentang saya pada PRN11 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh. Calon itu hanya mampu membayar deposit sahaja tetapi bayaran untuk poster tidak dapat dijelaskan disebabkan tiada wang.

“Sehingga sekarang calon itu entah ke mana, berkempen pun tidak. Itulah saya katakan tindakan DAP itu hanya membazirkan wang. Lebih baik tidak bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang semalam.

Terdahulu, Masing menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Ngemah di Rumah Ingai Achot, Sungai Jih di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, calon BN DUN Ngemah Alexander Vincent serta isteri Susan Clement, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri Jackson Melintang, Penghulu Barnabas Angkis dan Tuai Rumah Ingai Achot.

Dr Masing yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah turut membidas sikap DAP sambil lewa menghadapi PRN ini.

“Lagipun calon-calon DAP kebanyakan di kawasan luar bandar adalah ‘disuruh’ oleh parti menjadi calon dan bukannya orang betul-betul berjuang untuk rakyat.

“Kalau serius dan betul-betul mahu bertanding, saya tidak kisah baharulah ada lawan,” jelas calon BN Baleh itu.

Bercakap mengenai impian Sarawak diperkenalkan oleh DAP di luar bandar, Masing menyifatkan ia hanya mimpi mereka.

Katanya DAP tidak mampu melaksanakan apa-apa pembangunan di luar bandar yang memerlukan bajet besar.

“Lebih baik Impian Sarawak mereka itu dibuat sahaja di bandar. Jangan cuba mempengaruhi penduduk luar bandar kerana rakyat di situ masih memerlukan BN melaksanakan pembangunan. Selama ini BN yang bagi pembangunan, bukannya DAP,” jelasnya.

Sementara itu, Masing menyambut baik langkah Parti Pekerja Sarawak (SWP) Bahagian Tamin diketuai Labang Ayom keluar parti beramai-ramai di Selangau semalam menunjukkan tanda positif untuk BN.

“Itu saya katakan, pembangkang tiada visi, misi dan objektif untuk kawasan luar bandar. Mereka tidak sesuai berpolitik di kawasan luar bandar,” tambahnya.

Advertisement