Anda di sini

Abdullah ‘Kajuk Kabak’ demi kesejahteraan rakyat Semop

Advertisement

// Oleh Saibi Gi //

 Jalan raya memasuki Kampung Sedau yang turut menghubungkan penduduk ke bandar Sibu dan Tanjung Manis.

KEMUDAHAN: Jalan raya memasuki Kampung Sedau yang turut menghubungkan penduduk ke bandar Sibu dan Tanjung Manis.

SEMOP merupakan nama satu kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N42 Semop yang terletak di Pulau Bruit, Daerah Daro dalam Bahagian Mukah.

Kawasan pilihan raya majoriti pengundinya terdiri daripada Melanau itu diwakili Abdullah Saidol selama sepenggal yang lepas kira-kira lima tahun.

Beliau seorang wakil rakyat yang tinggi dedikasi terhadap tanggungjawab dan amanah. Mandat diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011 tidak beliau sia-siakan.

Kekerapan beliau menjenguk kawasan mendapat pujian pemimpin-pemimpin masyarakat. Seorang yang rajin bertanya masalah rakyat dan menjenguk projek pembangunan.

Istilah turun padang yang gemar digunakannya ialah ‘Kajuk Kabak’ – satu istilah bahasa Melanau bermaksud ‘Ke Hulu Ke Hilir’.

Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.42 Semop Kaunselor Suib Basnu berpendapat Abdullah bukan sahaja rajin menjenguk kawasan, tetapi mempunyai hubungan akrab dengan ketua-ketua masyarakat dan pemimpin-pemimpin parti.

Hubungan baik itu memberi manfaat kepadanya untuk memperolehi maklumat tentang keperluan penduduk di kawasan yang seterusnya disusuli dengan tindakan, misalnya bantuan.

“Berdasarkan kerja keras YB (Abdullah) selaku wakil rakyat sepanjang penggal pertama bilangan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi kelak dijangka bertambah,” ujarnya.

‘Kajuk Kabak’ beliau bukan sekadar menjenguk rakyat, tetapi ‘membawa’ projek.

 Proses menghasilkan                  ikan lumek salai. Antara produk industri desa penduduk Pulau Bruit yang terkenal.

INDUSTRI DESA: Proses menghasilkan ikan lumek salai. Antara produk industri desa penduduk Pulau Bruit yang terkenal.

Antara projek yang dilaksanakan ialah pembinaan dewan masyarakat di beberapa kampung – Kampung Bruit, Tekajong, Penipah, Betanak, Penibong/Penuai dan Semop.

Dewan amat penting dan berguna kepada penduduk kampung bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti mesyuarat.

Perjuangan Abdullah bukan sekadar melaksanakan projek infrastruktur, beliau dikatakan seorang yang amat menitikberatkan pendidikan. Menerusi pendidikan sesebuah masyarakat dapat diangkat martabatnya, menerusi pendidikan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga akan naik.

“Abdullah sentiasa peka, menggalakkan serta mengambil berat tentang pelajar di peringkat kampung begitu juga pelajar-pelajar di peringkat menengah.

“Murid yang berprestasi tinggi akan menerima hadiah serta diberi bantuan segera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya bagi yang kurang berkemampuan,” jelas Suib lagi.

Konsep ‘Kajuk Kabak’ itu yang membuatkan Abdullah semakin disayangi penduduk di situ.

Menurut Suib lagi, para nelayan di kawasan DUN Semop turut menikmati bantuan seperti bot gentian, enjin sangkut dan lain-lain peralatan untuk menangkap ikan sejak 2010 melalui agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan.

Abdullah jelasnya menggalakkan mereka yang belum menerima bantuan agar memohon secepat mungkin.

Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem turut dirasai di kawasan Semop.

“Projek-projek di bawah RTP sedang rancak dilaksanakan di seluruh pelusuk kampung. Ada yang naik taraf prasarana sedia ada, dan ada yang bina baharu seperti jalan konkrit, titian belian, jambatan belian dan jalan bendang.

“Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap kebajikan  rakyat di luar bandar,” ujarnya.

‘Kajuk Kabak’ beliau juga adalah untuk memastikan projek-projek dilaksanakan dengan teliti oleh kontraktor. Pernah beliau dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengkritik kontraktor-kontraktor yang gagal menyempurnakan kerja dengan baik.

 Pertandingan memancing disertai Abdullah anjuran persatuan nelayan.

AKTIVITI MASYARAKAT: Pertandingan memancing disertai Abdullah anjuran persatuan nelayan.

Pada persidangan DUN 14 November 2014, beliau dipetik berkata:

“Kontraktor seperti ini tiada langsung dalam jiwa dan akal mereka betapa pentingnya projek kemudahan asas ini kepada warga desa kami. Mereka hanya mementingkan untung.”

Beliau yang ternyata kecewa dengan prestasi kemajuan pelaksanaan projek bekalan air dan elektrik di kawasannya, menggesa kerajaan agar menamatkan serta-merta khidmat kontraktor terbabit.

Sambil dengan nada sinis mengatakan projek itu tidak membabitkan teknologi kejuruteraan angkasa lepas, beliau berkata kontraktor-kontraktor yang gagal melaksanakan projek bekalan air dan elektrik di luar bandar adalah pengkhianat terhadap usaha murni kerajaan memakmurkan kawasan desa.

“Kontraktor mesti ada ‘sense of urgency’ (kesungguhan untuk menyegerakan) untuk menyiapkan projek.”

Sehubungan itu, Ketua Wanita PBB Cawangan Meradong Dayang Rajamah Abang Adeng memuji ketegasan Abdullah dalam memastikan projek rakyat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

“YB Abdullah sangat prihatin yang mana beliau sendiri turun kawasan untuk memastikan projek berjalan dengan baik.

“Ternyata YB Abdullah membuktikan beliau menggunakan peluang diberi pengundi kawasan Semop yang boleh membawa pembangunan.

“Pembangunan dan kesinambungan akan berterusan jika beliau diberi peluang sekali lagi,” jelasnya.

Rudy Suib, seorang ahli PBB setempat pula menyifatkan Abdullah sebagai wakil rakyat yang diterima baik oleh penduduk di kawasan Semop.

“Keseluruhan masyarakat menerima baik cara pendekatan YB (Abdullah) dalam pergaulan walaupun pada pendapat peribadi saya cara YB agak kasar dalam pertuturan dan bahasa yang mungkin terbiasa dengan cara Melanau Belawai,” jelasnya.

Beliau menggambarkan Abdullah sebagai yang kuat bekerja demi pembangunan kawasan.

“Setakat tempoh penggal pertama semenjak YB Abdullah menjadi wakil rakyat, kemajuan kawasan dari sudut infrastruktur semakin rancak.YB sentiasa bekerja keras untuk membawa pembangunan ke kawasan,” ujarnya.

Beliau mengakui ‘Kajuk Kabak’ Abdullah mempunyai kesan mendalam di hati penduduk kawasan.

Mengenai aktiviti-aktiviti belia, Rudy memberitahu ia kerap diadakan meskipun peruntukan terhad demi mencapai keseimbangan dalam program pembangunan masyarakat.

               Sebuah kampung di utara Pulau Bruit yang kaya dengan hasil laut.

AMAN DAMAI: Sebuah kampung di utara Pulau Bruit yang kaya dengan hasil laut.

Advertisement