Anda di sini

TERAS enggan dianggap musuh dalam selimut

Advertisement

Oleh Kepu Sidi//

 Mawan menyeru ahli TERAS memberi sokongan kepada calon BN DUN N39 Krian Kilat Beriak.

BERIKAN SOKONGAN: Mawan menyeru ahli TERAS memberi sokongan kepada calon BN DUN N39 Krian Kilat Beriak.

SARATOK: Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawam Ikom yang juga bekas Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) menggesa 5,116 penyokong TERAS termasuk seorang pemanca, enam penghulu dan 43 tuai rumah di kawasan Batang Awik memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian Kilat Beriak pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Katanya kemenangan itu amat penting bagi memastikan DUN Krian dapat dikembali ke tangan BN.

“Kita mahu semua penyokong TERAS memberi sokongan penuh kepada calon BN dan mengabaikan soal berkaitan kemelut yang telah berlaku selama ini.

“Perjuangan kali ini adalah perjuangan bersama, bukan masa untuk kita terus terbawa-bawa dengan segala masalah yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Katanya beliau tidak mahu ahli TERAS dianggap musuh dalam selimut dan dipertanggungjawabkan jika ada kawasan yang keputusan pilihan raya tidak mencapai sokongan seperti yang diharapkan.

“Kita ingin tegaskan dan bawa semua ahli TERAS harus memberi sokongan padu kepada calon BN bertanding di seluruh kawasan di negeri ini,” kata Mawan.

Beliu berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Bama, Nanga Risau Awik, malam kelmarin.

Menurut Mawan, perpaduan semua peringkat masyarakat dengan mengetepikan perbezaan amalan fahaman politik merupakan asas semua perkara.

“Masyarakat harus bersatu di bawah satu bumbung dan tidak berpecah belah sesama sendiri, kerana melalui kesepakatan seperti ini akan mempermudahkan kerajaan menyalurkan segala bentuk agenda pembangunan dengan lancar.

“Segala perkara boleh menyebabkan kekeliruan seperti kerap tersebar di media sosial tidak seharusnya dipercayai dan dilayari dengan penuh perasaan,” katanya.

Mawan berkata khabar angin seperti itu boleh meracun minda dan menyebabkan rakyat menjadi boneka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab meneruskan agenda negatif.

Sementara itu, calon BN DUN N.39 Krian Kilat Beriak pada majlis sama berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom sejak sekian lama.

“Kami sudah lama kenal dan bekerjasama dalam pelbagai perkara khususnya melibatkan kepentingan masyarakat dan kaum Iban di negeri ini.

“Justeru, kesudian beliau membawa dan menggesa ahli TERAS memberi sokongan kepada saya untuk memenangi kerusi DUN Krian ini amat saya hargai.

“Abaikan soal lain (kemelut parti). Semua harus bersatu di bawah payung BN untuk memastikan kerusi DUN ini dimenangi oleh BN,” tegas Kilat.

Tambah Kilat, masyarakat harus bersatu dan bergerak seiring bagi memastikan DUN ini kembali ke tangan pihak BN.

Justeru katanya, semua pihak perlu bergerak seiring dan jangan mudah dipengaruhi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan daripada setiap kelemahan yang ada.

“Jika kita ingin melihat masa depan yang lebih cerah untuk kita dan generasi akan datang, semua pihak tidak kira daripada parti apa, kita alu-alukan dan sarankan agar memberi sokongan padu kepada calon BN pada pilihan raya kali ini,” ujar Kilat.

Turut hadir Pengerusi TERAS N39 Krian Banyi Beriak serta sekitar 250 penduduk setempat.

 

Advertisement