Anda di sini

PAS yakin mampu menang satu hingga dua kerusi

Advertisement

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin mampu meraih kemenangan antara satu hingga dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili berkata ia berikutan hasil maklum balas daripada tinjauan di 11 kawasan yang ditandingi parti itu.

“Hasil tinjauan sebelum ini mendapati sambutan amat menggalakkan dan ia memberi impak positif kepada kami.

“Malah kami yakin mampu menang antara satu hingga dua kerusi berdasarkan sambutan dan sokongan daripada rakyat,” katanya.

Mukhtar mendedahkan perkara itu pada sidang media di pejabat PAS Petra Jaya di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya PAS turut berpotensi  memenangi tiga kawasan termasuk Beting Maro, Sebuyau dan Kakus.

“Di Beting Maro dan Sebuyau, kita mampu meraih kemenangan manakala di Kakus pula, kawasan itu mampu memberi kejutan kerana antara kawasan yang berpotensi,” jelasnya.

Menurut Muhktar, pilihan raya kali ini menyaksikan PAS menyertai pertandingan di 11 kerusi berbanding sebelum ini hanya bertandig di lima kerusi.

Sementara itu, bercakap mengenai isu sekatan kedatangan individu ke Sarawak, beliau menasihati kerajaan sementara di bawah pentadbiran Ketua Menteri agar bersikap lebih terbuka berhubung perkara itu.

“Petugas-petugas kami dihalang daripada memasuki negeri ini, perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Mereka hanya orang biasa yang tidak mempunyai atau berpotensi untuk menimbulkan masalah, jika mereka tersenarai dalam senarai individu yang dihalang, itu kami faham tetapi petugas-petugas kami hanya datang mahu membantu jentera parti,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, PAS akan menghantar surat rasmi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi memaklumkan perkara itu.

Larangan tersebut turut mengehadkan kemasukan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng sehingga 5 Mei ini.

Advertisement