Anda di sini

Jenama Adenan buat pembangkang tertekan

Advertisement

Pembangkang tertekan menghadapi PRN11 berbanding pilihan raya yang lepas: Penganalisis politk

// Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Pembangkang lebih tertekan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini berbanding pilihan raya yang lepas, kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Beliau menjelaskan, ini kerana Barisan Nasional (BN) menjadi semakin kukuh hasil daripada strategi yang menggunakan nama Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai jenama utama berbanding nama BN sendiri.

“Tinggal empat hari lagi (hari mengundi) dan pembangkang memang tertekan…ini disebabkan oleh faktor jenama Adenan.

“Malah, setiap gambar calon turut digandingkan dengan Adenan dan ini mempengaruhi pengundi untuk menyokong BN,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jeniri menambah, strategi calon langsung juga memberi kelebihan kepada BN untuk menawan kerusi-kerusi yang ditandingi, yang kebanyakan adalah kerusi baharu.

Sehubungan itu, katanya faktor berkenaan telah membawa kepada pengakuan oleh Lim Kit Siang bahawa enam hingga tujuh kerusi yang ditandingi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam bahaya.

Bagaimanapun, Jeniri menyifatkan kenyataan veteran DAP itu juga mungkin strategi untuk memberi tekanan kepada parti supaya meningkatkan lagi usaha dan strategi politik mereka dalam kempen.

“Nak katakan DAP hilang tujuh daripada 12 kerusi yang ditandingi, itu agak mustahil.

“Saya tidak jangkakan tsunami seperti itu berlaku kerana masyarakat khususnya kaum Cina masih lagi memerlukan ‘semak dan seimbang’ dalam kerajaan, yang perlu dimainkan oleh pembangkang khususnya DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bilangan orang yang hadir dalam ceramah-ceramah pembangkang khususnya DAP tidak semestinya mempengaruhi undi untuk parti pembangkang itu.

“Jangan terperdaya dengan bilangan orang yang hadir dalam ceramah-ceramah pembangkang kerana tidak semestinya orang yang ramai akan menyokong mereka,” katanya.

Sebaliknya, Jeniri menjelaskan sebahagian besar pengundi sudah lebih awal membuat keputusan mengenai pihak yang akan disokong mereka.

Beliau menambah, hanya kurang 25 peratus pengundi sahaja yang dijangka membuat keputusan pada hari mengundi dengan kebanyakan mereka adalah di bandar.

“Ini kerana mereka dalam dilema… dalam mereka sayang Ketua Menteri, mereka masih mahu sokong pembangkang,” katanya.

Advertisement