Anda di sini

Autonomi DAP hakis kuasa negeri, hak rakyat

Advertisement

Awang Tengah kecam slogan DAP yang mahu autonomi yang disemak dan seimbang

// Oleh Rusnan Mustafa //

 Awang Tengah berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sri Arjuna.

SOKONG ADENAN: Awang Tengah berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sri Arjuna.

KOTA SAMARAHAN: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengecam slogan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mahu ‘Autonomy with Check and Balance’ atau autonomi yang disemak dan seimbang.

Beliau menegaskan bahawa saranan DAP yang mahu autonomi disemak dan seimbang itu akan menghakiskan semula kuasa negeri dan hak istimewa rakyat di Sarawak.

“Dalam perjalanan saya ke sini (Kampung Sri Arjuna), saya tengok ada poster DAP yang menyatakan ‘Autonomy with Check and Balance’, ini bukan soal ‘check and balance’ ini adalah soal hak kita yang sudah termaktub dalam perlembagaan kita dan juga dalam Perjanjian Malaysia.

“Dan inilah yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu kuasa autonomi kita yang telah terhakis dikembalikan semula kepada Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan tempat letak kereta Masjid Kampung Sri Arjuna di sini, malam kelmarin.

Awang Tengah yang menang tanpa bertanding di Bukit Sari memberitahu bahawa tujuan DAP menyatakan perkara itu hanya untuk memesongkan pemikiran rakyat semata-mata.

“Ketua Menteri memperjuangkan autonomi dan hak kita supaya ia dapat dikembalikan dan syukur alhamdulillah disebabkan kelantangan Adenan sekarang ini kuasa dari segi pentadbiran, 13 perkara yang telah kita ambil balik.

“Kita akan terus memperjuangkannya, dari segi perlembagaan dan akta mana yang terhakis kita akan perjuangkan supaya ia dapat dikembalikan,” tegasnya lagi.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), beliau memberitahu ia adalah penentu landskap politik di seluruh negara.

“PRN11 inilah pertama kalinya Ketua Menteri menerajui Barisan Nasional (BN), jadi berilah mandat besar kepada beliau dan Team Adenan (calon BN lain) pada 7 Mei ini dengan turun mengundi beramai-ramai,” tambahnya.

Mengenai DUN Stakan, Awang Tengah memberitahu bahawa alon BN-PBB di situ Dato Sri Mohd Ali Mahmud juga sepatutnya menang tanpa bertanding tetapi dicabar calon DAP (Leslie Ting Xiang Zhi) pada saat akhir.

“Kita semua tidak kenalpun siapa beliau, sememangnya beliau tahu tidak akan menang tetapi beliau cuba nak ‘rantai’ Mohd Ali.

“Dengan sokongan kamu semua sudah tentu kemenangan besar akan memihak kepada kita supaya beliau hilang wang deposit,” katanya.

Terdahulu, Mohd Ali menggesa rakyat di DUN Stakan terus memberi sokongan padu kepada BN untuk memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.

“Saya lihat sambutan generasi muda terhadap perjuangan kita semakin bertambah baik dan saya percaya mereka tahu perjuangan dan hala tuju negeri kita ke arah yang lebih baik lagi.

“Justeru, saya berharap penduduk di DUN Stakan khususnya dan Sarawak amnya turun beramai-ramai mengundi calon BN yang merupakan pasukan Team Tok Nan kita,” ujarnya.

Advertisement