Anda di sini

Tanjung Manis berpotensi membangun

Advertisement

Seiring bandar-bandar besar di Sarawak yang dilengkapi segala kemudahan: Len Talif

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

 (Empat kiri) Len, Richard (lima kiri) dan yang lain bersama pada Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan TM TEC di Tanjung Manis semalam.

RASMI: (Empat kiri) Len, Richard (lima kiri) dan yang lain bersama pada Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan TM TEC di Tanjung Manis semalam.

TANJUNG MANIS: Tanjung Manis terletak di lembah Sungai Rejang berpotensi membangun seiring bandar-bandar besar di Sarawak kerana segala kemudahan tersedia di kawasan tersebut.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), Datuk Len Talif Salleh berkata apa yang penting aktiviti pembangunan harus terus berlaku di Tanjung Manis.

Menurutnya, kawasan Tanjung Manis merupakan pembangunan yang bermula daripada sifar iaitu daripada kawasan hutan tidak berpenghuni yang amat sukar dibangunkan.

“Saya telah terlibat dengan perancangan serta pembangunan Tanjung Manis sejak 36 tahun lalu.

“Semuanya berubah selepas kerajaan negeri mengambil inisiatif mengangkat kawasan ini menjadi zon perindustrian perkayuan.

“Pada masa itu semasa kita ingin menjadikan kawasan ini sebagai kawasan perindustrian perkayuan tidak ada syarikat besar tempatan berminat melabur di sini.

“Mereka tidak percaya dengan komitmen dan perancangan kerajaan negeri waktu itu, namun kini Tanjung Manis membangun daripada sifar kepada kawasan pesat membangun,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan TM TEC di Tanjung Manis semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Akademi TM TEC Richard Song, Pengasas Akademi TM TEC Jeli Bohari Biha, Pengarah Akademi TM TEC Lawrence Lee, Penasihat Akademi TM TEC Ramli Abu Samah dan Timbalan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Sabarudin Mohamad.

Tambahnya, kerajaan membina prasarana asas seperti kemudahan jalan, bekalan elektrik dan air untuk memastikan kawasan itu dapat dibangunkan serta memenuhi kehendak pelabur.

“Ini adalah komitmen kerajaan negeri dan persekutuan untuk memastikan Tanjung Manis menjadi kawasan pencorak pembangunan kawasan tengah,” katanya.

Di samping itu, beliau juga turut memberi perbandingan pembangunan di kawasan lain yang dijalankan oleh kerajaan melalui pelbagai dasar dan polisi pembangunan.

Beliau memberi contoh di mana kawasan Kota Samarahan dahulu merupakan kawasan desa, namun kini mempunyai sebuah landskap pembangunan yang lestari.

“Di Sarikei, dahulunya tanpa Tanjung Manis seperti sebuah bandar mati, begitu juga Bintangor, tetapi tidak mustahil ia akan membangun dalam jangka masa 15 tahun lagi.

“Ia tidak mustahil untuk dicapai dengan wawasan 20 atau 30 tahun dalam perancangan membangunkan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau minta kerjasama semua pihak terutama penggiat industri, ketua masyarakat serta komuniti menyambut baik peluang disediakan kerajaan supaya dapat memajukan Tanjung Manis untuk generasi akan datang.

Advertisement