Anda di sini

Dr Annuar berharap kerajaan bina 1,000 unit rumah PR1MA di Sibu

Advertisement

SIBU: Calon Barisan Nasional (BN) Dr Annuar Rapa’ee berharap dapat meyakinkan kerajaan supaya membina kira-kira 1,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Sibu.

Dr Annuar berkata, ini bertujuan membolehkan mereka yang tinggal di bandar dapat memiliki rumah sendiri.

“Untuk konteks Sibu, rumah PR1MA diharapkan dapat membantu mengurangkan kesesakan di beberapa kampung di DUN Nangka selain memberi peluang kepada rakyat mempunyai rumah sendiri.

“Saya akan mencuba sedaya upaya meyakinkan kerajaan supaya membina 1,000 rumah mampu milik di Sibu,” katanya semasa mengadakan ce-ramah politik di sini, malam kelmarin.

Katanya antara agenda perjuangan beliau bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat DUN Nangka ialah mengutamakan keselesaan penduduk di sini.

Menurut Dr Annuar, dianggarkan 2,000 lot tanah disediakan bagi membantu mengurangkan kepadatan kediaman di kampung-kampung DUN Nangka.

Jelas beliau, sebagai permulaan sebanyak 413 lot disediakan untuk fasa pertama manaka fasa kedua melibatkan 427 lot menjadikan jumlah keseluruhan 840 lot.

Katanya, projek tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Februari lalu.

Selain itu, Dr Annuar memberitahu bahawa sebuah bandar satelit baharu dinamakan Bandar Baharu Nangka akan diwujudkan di Batu 11 Jalan Oya di sini, melibatkan kawasan kira-kira 300 ekar tanah bagi mengurangkan kepadatan kediaman.

“Ia bukan hanya sebuah perkampungan baharu tetapi turut diliputi dengan kawasan perumahan serta bangunan komersil selain turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur serta kemudahan lain,” ujar beliau.

Dr Annuar turut memberitahu bahawa satu lagi kawasan seluas 400 ekar berhampiran Sibu Jaya juga telah diluluskan menjadikan jumlah keseluruhan 2,000 lot.

Beliau juga berkata, kediaman sekitar Kampung Hijrah turut disusun semula bagi mengurangkan kepadatan.

Sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf jalan raya di kawasan kampung dan 32 rumah di kawasan itu dalam tempoh lima tahun lalu.

Selain itu, kebanyakan kediaman di kawasan itu juga telah mempunyai bekalan elektrik dan air terawat.

“Justeru saya berharap pengundi di DUN Nangka akan terus memberi soko-ngan kepada BN demi kesi-nambungan pembangunan,” katanya.

 

Advertisement