Anda di sini

10 termasuk tekong ditahan dalam perjalanan dari Sandakan ke Filipina

Advertisement
 Bot pancung bersama tekong dan sembilan penumpang dibawa ke jeti APMM Sandakan.

DITAHAN: Bot pancung bersama tekong dan sembilan penumpang dibawa ke jeti APMM Sandakan.

SANDAKAN: Cubaan seorang tekong membawa sembilan penumpang menggunakan bot pancung disyaki bertujuan keluar dari Sandakan menuju ke Pulau Taganak, Filipina, gagal selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Sandakan (DM17) di perairan Pulau Berhala, petang Rabu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kesemua 10 orang yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak berumur 2 hingga 59 tahun.

Pengarah Maritim DM17, Kapten Maritim A Razak Abd Rahman berkata bot bernombor pendaftaran SN 70/4/F yang didaftarkan bagi tujuan perikanan itu ditahan sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin Operasi Pluto Timur di perairan Sandakan.

“Kesemua penumpang yang ditahan disyaki hendak pulang ke kampung halaman mereka di Filipina berikutan penemuan beg pakaian dan membawa anak yang masih kecil dalam jagaan mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut, sembilan daripadanya disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Razak berkata kesemua mereka termasuk bot berkenaan dibawa ke Jeti APMM Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat DM17 untuk tindakan lanjut.

“Kita akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan keselamatan perairan kita sentiasa terjamin dan saya berharap agar komuniti maritim memberi kerjasama,” katanya.

 

Advertisement