Anda di sini

Waspada khabar angin BN menang DUN Nangka

Advertisement

Oleh Andy Sabang//

 Dr Annuar (kanan) bersalaman dengan salah seorang pengundi di kawasan DUN Nangka.

TEMUI PENGUNDI: Dr Annuar (kanan) bersalaman dengan salah seorang pengundi di kawasan DUN Nangka.

SIBU: Pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dinasihati supaya berwaspada dengan kehadiran khabar angin yang mendakwa Barisan Nasional (BN) telah menang di kawasan itu.

Calon BN DUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee menyifatkan berita tersebut sengaja dihebah oleh pihak tidak bertanggungjawab supaya pengundi leka dan tidak keluar mengundi.

Katanya ia sebahagian daripada taktik pembangkang bagi tujuan mengelirukan pengundi di DUN Nangka dengan harapan untuk mengurangkan sokongan terhadap BN.

“Ia berita palsu bagi mewujudkan kekeliruan supaya pengundi tidak perlu mengundi BN lagi.

Justeru saya menggesa pengundi menolak sebarang khabar angin yang boleh membuatkan mereka tidak keluar mengundi pada hari pengundian kelak,” jelasnya kepada pemberita.

Menurut Dr Annuar, sekiranya mereka (pembangkang) berasakan hilang sokongan, mereka sepatutnya dari awal lagi mengambil langkah tidak bertanding.

Sementara itu, DUN Nangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Dr Annuar yang akan mempertahankan kubu kuat BN dicabar calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Simon Tiong dan calon PKR Abdul Raafidin Majidi.

Sunggupun demikian, pemerhati politik beranggapan pertarungan tersebut lebih cenderung kepada calon BN dan PKR.

Ini kerana STAR mungkin sebuah parti yang agak baharu kepada penduduk di kawasan itu dan pada PRN 2011 Dr Annuar menang dengan majoriti 5,302 undi.

Beliau mendapat 7,710 undi menewaskan calon PKR Norisham Mohamed Ali yang mendapat 2,408 undi.

Bercakap lanjut, Dr Annuar menjelaskan bahawa beliau telah mula melakukan kunjungan dari pintu ke pintu untuk melawat pengundi di samping turut mengedarkan kad laporannya bagi memperincikan pencapaian beliau dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Antara kawasan yang telah dikunjunginya ialah Kampung Pa’Dris, Kampung Hilir, Kampung Barieng dan Kampung Baru.

 

Advertisement