Anda di sini

Dr Joseph wujud wadah pemikir pancing pengundi Ngemah

Advertisement
Joseph

Joseph

SIBU: Calon Bebas Dr Joseph Jawa Kendawang yang mencuba nasib merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini berhasrat mewujudkan satu wadah pemikir atau ‘Think Tank’ bersama golongan cendekiawan berganding bahu membawa pembangunan di kawasan Ngemah.

Dr Joseph mendakwa, ia adalah satu daripada lapan objektif diberi keutamaan jika menjadi wakil rakyat pada 7 Mei ini.

Dr Joseph, 62, bertanding menggunakan lambang cangkul telah meletak jawatan sebagai kakitangan awam pada 22 April lalu.

“Saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai kakitangan awam bukan atas kepentingan peribadi tetapi atas permintaan serta desakan penduduk untuk menjadi calon dalam pilihan raya ini,” dakwanya.

Beliau bakal menentang penyandang kerusi Ngemah Alexander Vincent daripada Barisan Nasional (BN), Richard Lias (DAP) dan Thomas Laja Besi (PKR).

Selain itu, beliau juga akan menyediakan satu pelan strategik terutama dalam membawa pembangunan lebih telus dan saksama kepada rakyat khususnya untuk kawasan Ngemah.

“Menjadi harapan saya untuk membawa golongan profesional agar mereka dapat berkongsi ilmu dan idea-idea untuk mewujudkan satu landasan baharu agar perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur untuk tempoh empat tahun akan datang.

Dakwanya, penduduk di Ngemah menaruh kepercayaan dan harapan tinggi terhadap beliau untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Beliau juga akan berusaha mencari jalan meningkatkan sosioekonomi atau sara hidup rakyat dan menubuhkan dana pendidikan bagi membantu pelajar di kawasan Ngemah.

Kawasan DUN Ngemah mempunyai 24 pusat mengundi dan sebanyak 8,945 pengundi berdaftar.

 

Advertisement