Anda di sini

Pendapatan perkapita penduduk Sarawak semakin meningkat

Advertisement

Pendapatan RM4,000 kepada RM100,000 setahun wujud peluang pekerjaan

// Oleh Ambrose Rirang //

 Tun Taib (tengah) menandatangani plak perasmian di tapak Masjid Baharu Daerah Tatau kelmarin sambil disaksikan Yakup (kanan) serta tetamu kehormat yang lain.

RASMI: Tun Taib (tengah) menandatangani plak perasmian di tapak Masjid Baharu Daerah Tatau kelmarin sambil disaksikan Yakup (kanan) serta tetamu kehormat yang lain.

TATAU: Pendapatan perkapita penduduk negeri ini suatu ketika dahulu daripada paras serendah RM4,000 setahun kini boleh mencecah RM100,000 setahun disebabkan faktor lonjakan ekonomi agak pantas dan stabil sejak tiga dekad lalu sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, peningkatan pendapatan perkapita ini menjadi petanda jelas kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen  cukup tinggi dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan serta industri hiliran lain sekali gus membantu menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Bagaimanapun, mengikut perkembangan semasa ekonomi negeri pada masa sekarang, kerajaan menjangka bahawa Sarawak kemungkinan mencapai status negeri maju lebih awal daripada jangkaan memandangkan negeri kita sedang mengalami proses transformasi  pesat dalam bidang perindustrian khususnya projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mula dilaksana sekarang,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah  Masjid Baharu Daerah Tatau di Dewan Sukan Tatau di sini, kelmarin.

Jelasnya, daerah Tatau antara kawasan dekat Taman Perindustrian Samalaju (SIP) sudah pastinya bakal dilalui pelbagai pihak khususnya orang luar yang datang sama ada  bekerja atau membuka perniagaan sekali gus membangunkan industri hiliran daerah berkenaan.

“Peluang pekerjaan wujud hasil pembangunan SCORE dan  bakal  melonjakkan pergerakan ekonomi di kawasan Tatau yang memberi ruang daerah terbabit mengalami proses pembangunan lebih progresif dan mapan,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tun Taib berharap pembinaan Masjid Tatau secara tidak langsung memudahkan semua umat Islam kawasan Tatau beribadah serta menunaikan tuntutan agama dalam usaha memelihara kesucian agama Islam di daerah terbabit.

Sambil menyifatkan permintaan mengenai cadangan pembinaan masjid ini telah diutarakan kepada kerajaan sejak 2009 lagi, beliau berkata hasrat penduduk di kawasan Tatau itu telah menjadi kenyataan pada masa sekarang yang jelas membuktikan kerajaan amat menitikberatkan permintaan serta kehendak rakyat.

Justeru, penduduk di kawasan Tatau harus meneruskan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan dijalankan di Tatau serta kawasan berdekatan yang lainnya.

Datuk Daud Abdul Rahman, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Talib Zulpilip dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Advertisement