Anda di sini

Paulus tidak ambil mudah lawannya di Batu Danau

Advertisement

LIMBANG: Calon langsung Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri N.80 Batu Danau Paulus Palu Gumbang tidak akan mengambil mudah terhadap pihak lawan yang menentangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti.

Jelasnya, beliau tidak mengambil mudah calon Bebas Ali Adap kerana masing-masing mempunyai strategi sendiri untuk menawan hati para pengundi khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya tidak mahu mengambil mudah terhadap pihak lawan sebab tidak tahu apa strategi mereka khasnya pada masa berkempen.

“Apa yang penting ialah melakukan persiapan kempen secepat mungkin,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di sini, kelmarin.

Menurut Paulus, persiapan kempennya berjalan lancar dan akan melakukan strategi sama seperti pilihan raya lepas.

Jelasnya, Ahli DUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan jenteranya akan membantu beliau berkempen di kawasan Batu Danau.

“Saya akan membahagikan kepada dua kumpulan bagi memenuhi setiap lokasi berkempen yang akan dibantu oleh beliau (Dr Abdul Rahman) serta jenteranya.

“Dengan adanya gabungan DUN Bukit Kota, akan lebih memantapkan lagi kempen yang diadakan di kawasan DUN Batu Danau,” jelas Paulus sambil menambah, lebih banyak logistik akan digunakan dan poster sudah siap untuk dipamerkan.

Katanya beliau serta jenteranya akan memulakan kempen untuk bertemu penduduk di kawasan luar bandar terutama penduduk rumah panjang bagi mengenal pasti keperluan rakyat.

Paulus, 65, anak jati Batu Danau merupakan penyandang DUN Batu Danau sejak 2006.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, mempunyai isteri dan tiga anak yang sentiasa menyokong karier politiknya.

Pada PRN Ke-10 lalu, Paulus menang dengan majoriti undi sebanyak 2,319 undi.

Beliau mempertahankan kerusi terbabit selepas mendapat 3,667 undi berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lau Liak Koi (1,348 undi) dan calon SNAP Lawrence Cosmas Sunang Simpang yang hanya mendapat 140 undi.

Advertisement