Anda di sini

Peserta Sarawak optimis ‘TMF 2016’ tarik lebih ramai pelancong Singapura

Advertisement
 Pelawat Singapura meneliti manik Sarawak yang dipamerkan pada TMF 2016 di Singapura.

TERTARIK: Pelawat Singapura meneliti manik Sarawak yang dipamerkan pada TMF 2016 di Singapura.

SINGAPURA: Travel Malaysia Fair (TMF) 2016 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Changi di sini melabuhkan tirainya lewat semalam dan pengusaha pelancongan, pengusaha hotel serta pembekal produk dari Sarawak optimis dapat menarik lebih ramai lagi pelancong dari Singapura ke negeri ini.

“Ia adalah lawatan yang baik dengan pulangan yang memberangsangkan dan kami gembira kerana rakan-rakan kami menjangkakan masa depan yang lebih cerah,” kata Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Gustino Basuan.

Seramai 21 ejen, pengusaha hotel serta pemilik inap desa dan produk dari Sarawak menyertai pameran selama tiga hari itu yang mempromosikan pakej-pakej pengalaman produk Sarawak kepada rakyat Singapura.

Penyertaan lembaga tersebut pada pameran itu termasuk melancarkan jelajah pertama kempen pemasaran Sarawak yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pelancongan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Datu Ik Pahon bagi pihak Menteri Pelancongan Datu Amar Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lepas.

Di sTMF 2016, STB memaparkan pelancaran rasmi iklan bas awam pada bas transit SBS, tiga pertunjukan pentas yang diadakan setiap hari dan mengetengahkan persembahan kebudayaan Sarawak, penyertaan tukang seni dan kraf tangan yang menunjukkan tenunan tradisional serta kemahiran membuat bakul dan manik selain membawa produk-produk mereka untuk dijual terus kepada rakyat Singapura.

Pameran itu juga memaparkan sebuah bengkel produk destinasi Sarawak yang khusus setiap hari manakala sesi perniagaan dikendalikan pada petang Jumaat lepas.

Pengarah Urusan Amogha Tours and Travel yang mendapat manfaat daripada kempen itu, Kapten (B) Narayanan Kanan berkata beliau telah mendapatkan perniagaan yang baik dari pameran selama tiga hari itu.

“Sesi perniagaan menghasilkan pengesahan bagi empat kumpulan 60 pelancong dari Singapura,” katanya dan beliau mengalu-alukan tujuh hingga 10 perjanjian memberangsangkan yang beliau capai  dengan rakan-rakan baharunya pada persidangan itu.

Sambil mengakui beliau masih baharu dalam pasaran, Narayanan berharap beliau dapat berhubung dengan ejen-ejen India lain yang berpangkalan di Singapura dan bekerjasama dalam perniagaan mereka dengan menggunakan Singapura sebagai hab untuk membawa masuk pelancong dari India ke Singapura dan untuk melanjutkan pakej mereka ke Singapura.

Beliau juga berkata segmen pasaran tempatan India Singapura belum lagi dieksploitasi dan beliau berharap untuk menembusi pasaran lumayan yang ditawarkan oleh pengalaman produk khusus di Sarawak.

Sementara itu, Hanna Choo dari CPH Travel Agencies juga teruja kerana mendapat tempahan bagi pakej tarikan istimewa di pameran hujung minggu itu.

“Saya sedang meninjau pelancongan pelajar,” katanya dan menambah, permintaan khas dari sekolah untuk menambah aktiviti-aktiviti sukan dan permainan dengan sekolah tempatan di Sarawak ke dalam pakej mereka.

“Ia sangat memberangsangkan dan saya juga berharap untuk menambah pakej mengail kami yang popular ke dalam senarai pakej yang sudah disahkan dari pameran ini,” tegasnya.

Pengarah Urusan Kuching Holidays, Sam Tan menutup kempen dengan dua kumpulan yang disahkan akan melawat Sarawak dan beliau berharap untuk memeterai tiga lagi perjanjian dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sebagai sebahagian daripada kempen pemasarannya yang berterusan, STB juga akan menganjurkan pertunjukan pengguna selama 10 hari di Jalan Orchard bermula 13 Mei, di mana persembahan kebudayaan Sarawak, pameran mini, demonstrasi kraf tangan dan permainan tradisional akan diadakan untuk dikongsikan dengan pelancong dari Singapura.

MTF edisi kesembilan dianjurkan oleh Express and Excursion Bus Association of Singapore dan disokong oleh Tourism Malaysia, Pejabat Singapura.

Advertisement