Anda di sini

Keputusan DAP bertanding PRN11 cuma kacau daun, kata Zahid

Advertisement

KAPIT: Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11)  ini disifatkan kacau daun, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, DAP tahu bahawa mereka akan kalah tetapi tetap juga mahu bertanding.

“Dulu mereka bertanding di kawasan bandar tetapi kini beralih ke kawasan luar bandar. Tindakan DAP bertanding beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini hanya sebagai simbol kewujudan mereka sahaja,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, tiada alasan dan sebab mengapa rakyat mahu mengundi DAP kerana mereka disifat hanya datang pada musim ini sahaja serta tidak menepati janji  yang boleh menyebabkan rakyat marah.

Jelasnya, pembangkang tidak dapat menyelesaikan konflik antara mereka sendiri apatah lagi menyelesaikan masalah rakyat.

Sementara itu, Zahid memberitahu bahawa wujudnya beberapa pertandingan melibatkan lebih daripada tiga penjuru di beberapa kerusi DUN menunjukkan PRN kali ini meriah.

“Bagaimanapun, saya percaya rakyat sekarang bijak membezakan antara pembangkang dan BN. Banyak lagi rakyat menyokong calon BN daripada pembangkang,” jelasnya.

Kata Zahid, kehadirannya di sini untuk mengiringi calon BN di kerusi DUN Baleh yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Kapit.

Selain Masing, beliau turut menjenguk dua calon BN di Kapit iaitu Wilson Nyabong Ijang yang bertanding di kerusi DUN Pelagus dan Jefferson Jamit Unyat (DUN Bukit Goram).

“Walaupun ada cabaran, saya berasa teruja dengan kehadiran penyokong-penyokong BN mengiringi calon mereka ke pusat penamaan calon,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zahid percaya jika jentera BN berusaha keras selain menyelesaikan masalah rakyat, BN akan mendapat sokongan padu daripada rakyat menerusi calonnya.

Katanya calon BN atau Pasukan Adenan diketuai Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dapat bekerjasama membawa pembangunan kepada negeri ini tidak kira di bandar ataupun luar bandar.

“PRN kali ini adalah satu cabaran dan penilaian kepada Adenan daripada rakyat apa yang beliau telah laksanakan sepanjang kira-kira dua tahun menjadi Ketua Menteri.

“Kerajaan pusat akan memberi kerjasama yang erat kepada negeri ini jika BN mampu menang besar pada PRN ini selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memainkan peranan besar melindungi hak-hak rakyat negeri ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zahid turut mengulas mengenai kemenangan tanpa bertanding BN di kerusi DUN Bukit Kota yang diwakili oleh Abdul Rahman Ismail dan DUN Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan adalah satu langkah positif buat BN negeri pada PRN ini.

Advertisement