Anda di sini

Entusa yakin sokongan tuai rumah

Advertisement

Bekas superintenden polis tidak gentar cabaran di kerusi Balai Ringin

// Oleh Sandy Mark Luna //

 Entusa (tiga kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon sekitar 8.30 pagi diiringi ratusan penyokong.

KALI PERTAMA: Entusa (tiga kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon sekitar 8.30 pagi diiringi ratusan penyokong.

PANTU: Sokongan rakyat akar umbi khasnya di kalangan tuai rumah merupakan pendorong calon Bebas di kerusi Balai Ringin, Entusa Imam untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 ini.

Entusa yang merupakan satu-satunya calon Bebas di kerusi tersebut berkata, beliau juga tidak gentar berhadapan dengan pihak lawan khasnya dari Barisan Nasional (BN).

“Saya mempunyai sokongan penuh daripada ramai tuai rumah di kawasan ini.

“Bagaimanapun, sokongan mereka terhadap saya ini bukan kerana melawan BN, tetapi mahukan seorang wakil rakyat di kawasan ini yang dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya yang merupakan anak jati Balai Ringin ketika ditemui Utusan Borneo di Pusat Penamaan Calon, Pejabat Daerah Kecil Pantu, semalam.

Entusa pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching dengan pangkat superintenden sebelum bersara pada umur 58 tahun, tahun lepas.

“Saya juga ingin menyatukan semula masyarakat yang berpecah belah sebelum ini ke dalam satu identiti kerana kalau kita dapat bersatu padu, kita mampu membuat perkara lebih baik lagi,” katanya.

Sementara itu, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nicholas Munjah berkata, beliau selaku aktivis tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan memperjuangkan isu itu yang masih membelenggu penduduk luar bandar apabila kerajaan masih tidak mengiktiraf undang-undang berkenaan.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa parti itu mempunyai ramai penyokong di luar bandar khasnya apabila mendakwa BN gagal membawa perubahan nyata di kawasan itu.

“Rakyat banyak merungut kerana BN hanya pandai menabur janji tetapi gagal melaksanakan projek dijanjikan,” katanya yang juga pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum di kerusi Parlimen Sri Aman.

Sementara itu, Pok Ungkut yang merupakan seorang usahawan berkata, sekiranya terpilih beliau akan memberi yang terbaik.

“Biar rakyat membuat keputusan,” katanya ringkas.

Advertisement