Anda di sini

Alexander berdepan PKR, DAP dan Bebas

Advertisement
 Salang (tiga kiri) memimpin tangan Alexander (dua kiri) dan Susan (dua kanan) semasa berarak menuju ke pusat penamaan calon bagi N.49 Ngemah di Kanowit, semalam.

SEIRINGAN: Salang (tiga kiri) memimpin tangan Alexander (dua kiri) dan Susan (dua kanan) semasa berarak menuju ke pusat penamaan calon bagi N.49 Ngemah di Kanowit, semalam.

KANOWIT: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Penyandang daripada Barisan Nasional (BN) Alexander Vincent akan ditentang oleh Thomas Laja daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Richard Lias daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan calon Bebas Dr Joseph Jawa Kendawang.

Lebih 1,000 penyokong BN mengiringi Alexander dan isteri Susan Clement dengan berarak dari pekan Kanowit menuju ke pusat penamaan calon bagi N.49 Ngemah di Majlis Daerah Kanowit.

Turut mengiringi Alexander ialah Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum.

Alexander dicadang oleh Taboh Rimau manakala Lembat Atau sebagai penyokongnya dan Thomas dicadang oleh Satu Anchom dan disokong oleh Mathew Tira Rugah.

Lang Unchat dan Manggi Bantin masing-masing sebagai pencadang dan penyokong kepada permohonan Richard.

Bagi Dr Jawa, beliau disokong Lawrence Jimbai dan dicadang oleh Ambrose Digat.

Pada PRN 2011, Alexander memenangi kerusi DUN Ngemah dalam pertandingan lima penjuru yang melibatkan Gabriel Adit Demong daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), Aris Alap daripada PKR, Michael Lias daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas Yakup Khalid.

Alexander menang dengan memperolehi undi sebanyak 2,361 diikuti Adit 1,366 undi, Aris (650 undi), Michael (577 undi) dan Yakup (278 undi).

Alexander menang dengan majoriti 995 undi dan pada PRN berkenaan, Ngemah mempunyai 8,899 pengundi berdaftar.

Advertisement